Skip to main content
Kolum Iktisad - 21 September 2021

Pemikiran syariah perlu seiring peredaran teknologi

 

 

SEIRING kemajuan teknologi maklumat, kini, transaksi perbankan dalam sistem kewangan negara bertambah maju, pantas dan mudah. Perkataan 'FinTech' atau financial technology (teknologi kewangan) pula kian dikenali ramai. 

 

Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) juga sudah mula melebarkan sayap dengan menjadikan FinTech satu objektif utama dalam usaha memacu keberkesanan transaksi perbankan dalam sistem kewangan.

 

FinTech, secara mudah ialah industri ekonomi terdiri daripada syarikat-syarikat yang menggunakan teknologi untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih cekap. 

 

Oleh itu, teknologi maklumat secara khususnya sudah menjadi satu perkara penting dalam kegiatan inovasi kewangan Islam.

 

Perubahan dalam teknologi ini akan menjana minat kepada kepantasan pemikiran pelbagai bidang untuk mengejar keghairahan peredaran teknologi ini. 

 

Ia termasuklah pemikiran syariah untuk memastikan sebarang transaksi dalam perbankan Islam bertepatan dengan kehendah syariah, iaitu undang-undang Islam.

 

 

Fintech
Saranan BNM untuk bergeraj ke arah FinTech akan memakmurkan dan merancakkan transaksi sistem kewangan negara.

 

 

Mengejar perubahan teknologi

Dunia tanpa mengira zaman dan teknologi bertukar ubah. Adakah syariah juga perlu berubah untuk mengejar peredaran zaman dan perubahan teknologi ini? 

 

Syariah adalah set undang-undang Islam yang menggariskan sempadan antara 'yang boleh buat' dan 'yang tidak boleh buat'. 

 

Namun, ia mempunyai kelonggaran hukum apabila terhasil sesuatu perkara yang berubah disebabkan perubahan zaman atau peredaran teknologi. 

 

FinTech adalah sesuatu perkara baharu hasil daripada berubahnya zaman dan peredaran pantas teknologi. 

 

Untuk memaksimumkan manfaat hasil daripada pembangunan FinTech ini, ia memerlukan inovasi hebat bukan sahaja dari segi teknologi maklumat, tetapi pemikiran syariah yang sepadan dan menepati permintaan proses aplikasi perbankan, dalam 'alam maya' yang pesat digunapakai orang ramai ketika ini. 

 

Kalau dahulu manusia berkenderaaan unta, kini kereta dan kapal terbang telah menjadi mesin tunggangan manusia untuk bergerak. 

 

Malah pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain menjadi lebih pantas dan selesa. Mungkin nanti akan berlaku situasi di mana jasad kita juga boleh di'talian'kan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam beberapa saat atau minit. 

 

Ini semua adalah peredaran teknologi yang telah, sedang dan yang mungkin akan berlaku.

 

Merancakkan transaksi sistem kewangan

Pada hemat penulis, pemikiran syariah juga seharusnya seiring dengan peredaran teknologi. Segala teknologi baharu wajib digunakan untuk kemudahan manusia tanpa mencacatkan kehendak syariat. 

 

Perlu diingat bahawa, walaupun syariah adalah fleksibel dan akomodatif kepada perubahan zaman dan peredaran teknologi, namun yang haram tetap haram dan yang halal tetap halal. 

 

Di antara yang haram dan halal, ada ruang untuk 'ijtihad' oleh pakar-pakar, cendekiawan dan para ulama. 

 

Hukum-hukum ini akan berbeza antara satu tempat dan tempat yang lain. Dari satu zaman ke zaman yang lain dan ia juga harus seiring dengan peredaran teknologi dalam perubahan zaman.

 

Saranan BNM untuk ke arah FinTech akan terus memakmurkan dan merancakkan transaksi sistem kewangan negara. 

 

Maka, pemikiran syariah juga semestinya bergerak pantas untuk memelihara kesejahteraan kewangan Islam dalam struktur kewangan negara yang kita cintai demi mencapai maqasid al syariah. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

 

 

 

 

 

Portfolio Tags