Pemilik kereta di Moovby berpotensi raih 147% pendapatan | DagangNews Skip to main content

Pemilik kereta di Moovby berpotensi raih 147% pendapatan

Moovby

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pemilik kenderaan yang menempatkan kenderaan mereka ke dalam platform perkongsian kereta persendirian peer-to-peer (P2P), Moovby berpotensi menjana peluang pendapatan hingga 147%.

 

Moovby berkata, jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding nilai pembayaran semula pinjaman kereta yang dibuat.

 

"Platform perkongsian kereta ini bukan sahaja menggunakan kereta yang tidak digunakan secara efisien, ia juga memberi peluang kepada pemilik kereta untuk memperoleh pendapatan pasif dan menjadi usahawan sendiri," jelas Moovby dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pemilik kereta yang memberi sewa kenderaan yang tidak digunakan dalam platform Moovby dikenali sebagai 'host' serta mempunyai fleksibiliti untuk menetapkan harga dan tempoh sewa.

 

Melalui perkhidmatan perkongsian kereta tersebut, pemilik kereta berpeluang untuk mengimbangi kos pemilikan kereta seperti ansuran pinjaman kereta, yuran penyelenggaraan dan cukai jalan dengan pendapatan yang bakal diperoleh.

 

Potensi pendapatan pemilik kereta dalam Moovby adalah seperti berikut;

 

Moovby

 

Platform Moovby mula dilancarkan pada 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia dan berjaya meluaskan jaringan perkhidmatan ke negara luar.

 

Hingga kini, Moovby berjaya melebarkan sayap di seluruh negara dengan mengfokuskan kepada sembilan negeri di Malaysia dan tujuh bandar di Indonesia.

 

Berikut merupakan senarai negeri di Malaysia yang mempunyai perkhidmatan Moovby;

  • Kuala Lumpur
  • Selangor
  • Pulau Pinang
  • Kedah
  • Johor
  • Kelantan
  • Melaka
  • Sabah
  • Sarawak

 

Senarai bandar di Indonesia yang mempunyai perkhidmatan Moovby;

  • Jakarta
  • Bandung 
  • Bali
  • Yogyakarta
  • Kalimantan
  • Sulawesi
  • Lombok

 

 

Dalam pada itu, platform berkenaan adalah satu produk inkubasi empat bulan MaGIC dan turut menerima geran Program Pelaburan Cradle Fund (CIP50).

 

Lebih menarik, Moovby kini mempunyai lebih daripada 100,000 pengguna berdaftar dan lebih daripada 8,000 kereta yang disenaraikan dalam aplikasi mudah alih tersebut.

 

Berikut pula adalah senarai kereta yang boleh disewa dalam platform Moovby;

 

Moovby

 

Moovby yang turut dikenali sebagai 'Airbnb of Cars' juga bakal meluaskan perkhidmatannya ke dua buah negara lain iaitu Filipina dan Vietnam menjelang suku ketiga 2021.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil memberitahu, usaha tersebut adalah inisiatif berterusan pihaknya untuk terus membawa platform Mooby ke peringkat antarabangsa. - DagangNews.com