Pemulih: Diskaun elektrik, internet 1GB percuma diteruskan | DagangNews Skip to main content

Pemulih: Diskaun elektrik, internet 1GB percuma diteruskan

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5% hingga 40% menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemberian diskaun bil itu diberi mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan. 

 

Ini antaranya, diskaun sebanyak 40% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan, kata Muhyiddin. 

 

Pemulih

 

“Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.

 

“Selain itu, bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10% bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021. 

 

“Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion,” ujar Muhyiddin ketika mengumumkan Pemulih secara maya hari ini. 

 

Di bawah pakej rangsangan sama, Muhyiddin mengumumkan bahawa syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1GB data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021. 

 

Internet-pemulih

 

Jelasnya lanjut, kemudahan tersebut yang dianggarkan bernilai RM500 juta bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara. 


“Ketika ini kemudahan internet boleh dianggap utiliti keperluan asas bagi hampir semua aktiviti harian, termasuklah bagi pembelajaran, bekerja dari rumah, pembelian barangan secara dalam talian dan perkhidmatan kerajaan serta swasta,” katanya lagi. - DagangNews.com