Pemulihan beransur-ansur dari kesan COVID-19 pacu peningkatan hasil suku tahunan Bintai Kinden | DagangNews Skip to main content

Pemulihan beransur-ansur dari kesan COVID-19 pacu peningkatan hasil suku tahunan Bintai Kinden

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Bintai Kinden Corp Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM511,000 pada suku kedua berakhir 30 September  2021 berbanding kerugian bersih RM2.85 juta pada suku yang sama tahun lepas, didorong oleh kepelbagaian pesanan daripada projek yang telah siap dalam mekanikal dan segmen kejuruteraan elektrik (M&E). 

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu memaklumkan, hasil suku tahunannya meningkat 39.62% kepada RM17.14 juta daripada RM12.28 juta berikutan pemulihan beransur-ansur daripada kesan negatif pandemik COVID-19, manakala pendapatan suku tahunan sesaham (EPS) dicatatkan pada 0.13 sen berbanding kerugian sesaham ( LPS) sebanyak 0.9 sen sebelum ini.

 

“Kumpulan mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.24 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022 peningkatan daripada kerugian sebelum cukai sebanyak RM3 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu, terutamanya diperoleh daripada pertumbuhan hasil yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Pada asas suku ke suku, keuntungan bersih kumpulan pada turun 66.09% daripada RM1.51 juta pada suku sebelumnya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, walaupun hasil meningkat 39.77% daripada RM12.26 juta.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Sept 2021, Bintai Kinden mencatatkan untung bersih RM2.02 juta atau 0.53 sen EPS, berbanding kerugian bersih RM4.16 juta atau 1.31 sen LPS setahun lalu. 

 

Hasil separuh pertama tahun kewangan 2022 kumpulan meningkat 13.24% kepada RM29.41 juta daripada RM25.97 juta. 

 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden Azri Azerai berkata kumpulan itu optimistik pertumbuhan masa depannya pada tahun kewangan akan datang seiring dengan pemulihan ekonomi tempatan apabila semakin banyak sektor dibuka semula.

 

“Melihat ke hadapan, lembaga pengarah akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya yang berada dalam segmen M&E dan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peluang dan projek berulang di Malaysia yang mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan.

 

"Kami kekal positif terhadap prospek syarikat yang disokong oleh pembukaan semula secara beransur-ansur ekonomi tempatan," katanya.

 

Baru-baru ini pada mesyuarat agung luar biasa pada Isnin (22 Nov), Bintai Kinden memperoleh kelulusan pemegang saham untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam Johnson Medical International Sdn Bhd pada harga RM50 juta. -DagangNews.com