Pemulihan pengangguran 'diasak' cabaran | DagangNews Skip to main content

Pemulihan pengangguran 'diasak' cabaran

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Harapan pasaran buruh yang menyaksikan kadar pengangguran meningkat selama dua bulan berturut-turut untuk pulih dijangka terus dibelenggu cabaran bagi bulan-bulan mendatang. 

 

Kes jangkitan COVID-19 yang saban hari melebihi angka 3,000 mungkin mendatangkan sekatan pergerakan yang lebih ketat. 

 

Ini memberi cabaran buat pasaran buruh untuk terus pulih, jelas MIDF Research. 

 

“Gelombang ketiga pandemik COVID-19 terus merencatkan aktiviti ekonomi memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) yang bersasar telah dilanjutkan dan diperluas ke negeri-negeri lain serta perjalanan antara daerah juga diperketatkan,” ujar MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Di Malaysia, berdasarkan siaran data ekonomi, pemulihan pasaran buruh lemah ketika terdapat cabaran yang dicetuskan oleh peningkatan semula kes COVID-19.

 

Kadar pengangguran negara melonjak kepada 4.8% pada November 2020 berbanding Oktober tahun lalu (4.7%), peningkatan dua bulan berturut-turut. 

 

MIDF menjangkakan angka itu tidak berubah kepada 4.7%, namun data rasmi menunjukkan pemulihan pasaran melemah pada bulan berkenaan. 

 

Bagaimanapun, permintaan buruh bertambah baik pada Oktober 2020 memandangkan banyak perniagaan dibuka dan beroperasi semula. 

 

“Lebih banyak kerja kosong pada Oktober 2020, di mana semua sektor ekonomi utama mencatatkan bilangan kerja kosong lebih tinggi kecuali dalam sektor tanaman, perhutanan dan perikanan yang melaporkan lebih sedikit kekosongan sementara perlombongan dan penggalian tetap tidak berubah,” tambah MIDF. 

 

Menurut firma penyelidik itu, jumlah kerja kosong melonjak kepada 98,600 pada Oktober 2020 berbanding 31,700 pada bulan sebelumnya. 

 

Ini sekali gus menyaksikan angka tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun, jelas MIDF lagi. - DagangNews.com