Pemusatan kuasa terlalu besar individu atau pihak ke atas Tabung Haji dikhuatiri bawa mafsadah besar | DagangNews Skip to main content

Pemusatan kuasa terlalu besar individu atau pihak ke atas Tabung Haji dikhuatiri bawa mafsadah besar

PUTRAJAYA 18 Julai - Pemusatan kuasa yang terlalu besar suatu individu atau pihak, ke atas Tabung Haji dikhuatiri boleh membuka jalan kepada ketidakcekapan tadbir urus yang bakal membawa mafsadah besar kepada institusi kewangan terbesar umat Islam ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, oleh yang demikian, wujud keperluan suatu bentuk kawal selia dari badan yang berkepakaran seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan TH kekal pada landasannya.

 

Ini kerana TH kata beliau, diamanahkan untuk menjaga wang lebih 8.3 juta pendeposit, pengoperasian TH perlulah dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berintegriti.


Katanya, pelaksanaan Model Baharu Operasi TH ini adalah untuk menambahbaik tadbir urus dan model perniagaan TH dan akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, BNM dan TH.

 

Ini ujar beliau, bagi memastikan TH sentiasa mampan dalam menguruskan ibadah haji umat Islam di Malaysia, di samping melaksanakan perniagaan dan pelaburan bagi memberikan potensi pulangan yang baik untuk pendeposit, sekaligus menjana ekonomi umat Islam.

 

"Pun begitu, saya menegaskan bahawa kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ke atas TH, selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995 akan terus kekal, terutamanya dari segi operasi dan penyelarasan Jemaah Haji.

 

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan terus kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi TH bagi memastikan hak umat Islam dan bakal jemaah haji terpelihara.

 

 

Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

 

"Pengawalseliaan BNM ke atas TH sama sekali tidak akan menghakis hak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan umat Islam ke atas TH. Ini kerana setiap institusi kewangan yang dikawal selia BNM mempunyai model pengurusan berbeza dan boleh terus mengekalkan punca kuasa sedia ada, seperti Bank Rakyat yang masih di bawah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun dikawalselia oleh BNM," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

"Saya mengharapkan agar semua umat Islam dapat memberikan kepercayaan kepada saya, YB Menteri Kewangan, serta kerajaan dalam melaksanakan penambahbaikan ke atas TH. Sesungguhnya TH mempunyai signifikan yang besar ke atas umat Islam.

 

"Perkara yang utama adalah untuk memperkasa TH serta berada dalam situasi tadbir urus yang diyakini tanpa sebarang keraguan. Kami akan terus memastikan hak umat Islam kekal terpelihara melalui penambahbaikan operasi TH.

 

"Semoga TH terus maju dalam menguruskan amanah umat Islam dan bakal jemaah haji Malaysia," kata beliau. - DagangNews.com