Penarafan S&P Global penentu prestasi aliran bon Malaysia | DagangNews Skip to main content

Penarafan S&P Global penentu prestasi aliran bon Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Sejauh mana aliran masuk bon Malaysia akan menunjukkan prestasi yang lebih baik atau lemah dalam masa terdekat ini akan ditentukan oleh keputusan penarafan kredit dari S&P Global Ratings kelak. 

 

Kenanga Research membuat ramalan berkenaan selepas mengunjurkan aliran masuk asing bon Malaysia terus mengukuh dalam jangka masa sederhana ini, salah satunya disokong oleh penarafan profil kredit A3 stabil dari Moody’s baru-baru ini. 

 

Firma penyelidikan itu juga tidak menafikan perbezaan kadar hasil bon Malaysia yang secara konsisten tinggi akan memainkan peranan penting dalam aliran masuk asing. 

 

“Bagaimanapun, ‘lockdown’ yang masih berterusan mungkin menjejaskan permintaan asing dalam masa terdekat. Mengambil kira (semua) ini, dan situasi COVID-19 yang kian teruk di seluruh Asia, kami menyemak semula unjuran nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada 4.03 (2020:4.02) daripada 3.95 sebelum ini.

 

“Walaupun terdapat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, namun pemulihan pertumbuhan dijangka berterusan susulan pemberian rangsangan fiskal tambahan (Pemerkasa Plus), perkembangan vaksinasi yang berterusan dan permintaan luaran yang kukuh.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan unjuran kadar dasar semalaman pada 1.75% bagi sepanjang tahun ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih bon Malaysia pada Mei 2021 untuk 13 minggu berturut-turut, namun aliran masuknya menyusut kepada RM1.9 bilion berbanding RM6.4 bilion pada bulan sebelumnya, iaitu paras enam bulan terendah. 

 

Jumlah pemegangan bon asing terus meningkat pada tempoh sama, mencecah paras tertinggi sejak Oktober 2014.

 

Jelas Kenanga, perbezaan kadar hasil yang tinggi kekal menjadi pemacu kepada permintaan sekuriti hutang Malaysia. 

 

Namun, sentimen para pelabur terjejas akibat kebimbangan terhadap kes COVID-19 tempatan yang kian meningkat, pelaksanaan PKP 3.0 dan inflasi April yang lebih tinggi iaitu 4.7%.

 

“Pasaran hutang mungkin berdepan aliran masuk yang lemah dalam masa terdekat ini, disebabkan oleh penguatkuasaan PKP penuh. 

 

“Purata kadar hasil Perbendaharaan AS 10-tahun menyusut dua mata asas (bps) kepada 1.61% pada Mei, sementara purata hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10-tahun meningkat sebanyak 7 bps kepada 3.16%, melebarkan perbezaan kadar hasil kepada 155 bps pada Mei (April : 146 bps),” ujar Kenanga. - DagangNews.com