Pendapatan AEON Credit susut 6.2% kepada RM376.47 juta pada Q3 | DagangNews Skip to main content

Pendapatan AEON Credit susut 6.2% kepada RM376.47 juta pada Q3

 

 


KUALA LUMPUR 23 Dis – AEON Credit Service (M) Bhd. merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM164.03 juta bagi suku ketiga berakhir 30 November 2021 berbanding RM57.71 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Ia menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM103.46 juta pada suku tersebut, meningkat 145.5% daripada RM42.15 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh kerugian rosot nilai yang lebih rendah ke atas penghutang pembiayaan sebanyak RM33.09 juta berbanding RM156.91 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dengan sebahagiannya diimbangi perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

 

Jumlah pembiayaan dan transaksi AEON Credit bagi suku ketiga itu susut 2.9% kepada RM1.19 bilion berbanding RM1.22 bilion pada tempoh sama tahun tahun lalu berikutan impak sekatan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara. 

 

Pada suku berkenaan, kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM376.47 juta, berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM401.47 juta yang menyusut 6.2%.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 November 2021, pendapatan meningkat 0.6% kepada RM1.16 bilion daripada RM1.15 bilion bagi tempoh sama tahun lalu terutama disebabkan pendapatan faedah lebih tinggi kerana hasil bagi tempoh itu dipengaruhi dengan kerugian pengubahsuaian bersih Day One berkaitan Program Bantuan AEON.

 

Kedua-dua PBT dan PAT masing-masing merekodkan sebanyak RM482.03 juta dan RM342.04 juta dalam tempoh tersebut, meningkat 181.4% dan 184.5% berbanding tahun lalu, disebabkan pendapatan lebih tinggi dan elaun kerugian rosot nilai lebih rendah sebanyak RM294.68 juta.

 

Mengenai prospek kumpulan, AEON Credit berkata, ia kekal berhati-hati tetapi optimis dengan perniagaannya.

 

"Kami akan memantau dan menilai dengan teliti risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaan dengan tumpuan proaktif kepada peningkatan kualiti aset, pengurusan kos berhemat dan penambahbaikan kecekapan pengurusan kewangan dan operasi dengan memanfaatkan asas perniagaan AEON Credit yang positif," katanya. - DagangNews.com