Pendapatan mudah alih FY21 Maxis, Celcom & Digi dijangka menurun | DagangNews Skip to main content

Pendapatan mudah alih FY21 Maxis, Celcom & Digi dijangka menurun

Pendapatan mudah alih FY21 Maxis, Celcom & Digi dijangka menurun

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac. - Pendapatan perkhidmatan mudah alih tiga syarikat telekomunikasi terbesar iaitu Maxis, Celcom dan Digi (Big 3) dijangka menurun pada tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, ketiga-tiga syarikat berkenaan turut mengalami penurunan pendapatan mudah alih sebanyak 6.5% tahun ke tahun pada tahun kewangan 2020 susulan impak COVID-19, persaiangan serta penurunan kadar saling sambung sebanyak 49%.

 

"Walaupun pemulihan pendapatan pada tahun kewangan 2021 dijangka pulih daripada impak negatif penutupan kedai pada suku kedua 2020 yang disebabkan oleh PKP, ia bagaimanapun mungkin akan terus dihimpit oleh persaingan yang sengit.

 

"Kami yakin pengendali mudah alih Big 3 akan terus kehilangan bahagian pasaran hasil (RMS) kepada U Mobile kerana tawaran terakhirnya tetap menarik berbanding dengan Big 3," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya lebih optimis terhadap pertumbuhan pendapatan perniagaan kerana permintaan struktur dan persaingan adalah kurang sengit.

 

Menyentuh syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM), CGS-CIMB Research berkata, pihaknya meramalkan pendapatan TM akan berubah dan meningkat 3.7% tahun ke tahun pada tahun kewangan 2021 selepas menurun -5.2% pada tahun kewangan 2020.

 

"Selain pemulihan sebahagian daripada perbelanjaan Enterprise ICT, kami melihat permintaan yang tinggi untuk jalur lebar gentian, penyewaan borong kepada kenderaan tujuan khas 5G kerajaan (Digital Nasional) dan pusat data serta perkhidmatan awam," jelas GCS-CIMB Research.

 

Dalam pada itu, bagi Axiata pula, CGS-CIMB Research menjangkakan syarikat berkenaan akan mencatatkan pertumbuhan jangkaan perolehan sesaham (EPS) sebanyak 11.8%/28.9% dan 8.7% pada tahun kewangan 2021/2022 dan 2023.

 

Ia disokong oleh pertumbuhan pendapatan XL  (pendapatan perkhidmatan mudah alih, kecekapan kos dan kesan leveraj), Celcom, Dialog dan Robi.

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan 'neutral' bagi sektor telekomunikasi. - DagangNews.com