Pendapatan Petronas Gas dijangka stabil, disumbangkan oleh kontrak jangka panjang | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Petronas Gas dijangka stabil, disumbangkan oleh kontrak jangka panjang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - MIDF Research menjangkakan Petronas Gas Berhad akan terus berdaya tahan untuk FY22 kerana memiliki model perniagaan yang baik selain memiliki aliran hasil yang stabil disumbangkan oleh kontrak jangka panjang.

 

Firma itu berkata, aliran hasil yang stabil itu hadir daripada segmen pemprosesan, pengangkutan dan pengegasan semula gas.

 

Katanya, segmen pengangkutan dan pengegasan semula gas dijangka menyumbang secara positif kepada pedapatan kumpulan di bawah tarif Tempoh Peraturan 1 (RP1) yang berkuat kuasa sehingga hujung tahun ini.

 

"Segmen pemprosesan gas dijangka stabil dengan aliran pendapatan yang stabil di bawah Perjanjian Pemprosesan Penggal Kedua Gas 20 tahun yang berkuat kuasa hingga 2023.

 

"Sumbangan segmen utiliti mungkin akan terkesan dengan permintaan pelanggan dan harga bahan api akibat gangguan bekalan tenaga berpunca daripada peperangan Rusia-Ukraine serta kawalan pergerakan COVID-19 di China.

 

"Sebagai ganti kepada perkara itu, kumpulan itu sedang memuktamadkan pembaharuan beberapa kontrak jangka panjang yang akan menyumbang secara positif kepada segmen itu dalam masa panjang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Petronas Gas catat untung bersih RM432 juta bagi suku pertama 2022

 

Firma itu berkata, trend peningkatan harga gas telah menunjukkan peningkatan sejak awal CY22 dan secara tidak langsung memberi manfaat besar kepada Petronas Gas.

 

Katanya, pasaran gas dunia akan terus berdepan ketidaktentuan akibat sekatan terhadap bahan api yang dikenakan Rusia dan secara tidak langsung meningkatkan permintaan.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan bahawa risiko ketidakstabilan pasaran dengan mengambil kira inflasi global akan kekal untuk jangka sederhana.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu RM17.90 sesaham," katanya. - DagangNews.com