Pendapatan Q3 Hartalega dijangka melonjak kepada RM900 juta | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Q3 Hartalega dijangka melonjak kepada RM900 juta

Hartalega Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Pendapatan syarikat pembekal sarung tangan getah, Hartalega Holdings Bhd. (Hartalega) dijangka melonjak sebanyak 643% tahun ke tahun pada suku kewangan ketiga (Q3) berakhir 31 Disember 2020.

 

RHB Investment Bank berkata, jangkaan peningkatan itu menjadikan jumlah pendapatan untuk tempoh tersebut adalah sebanyak RM900 juta.

 

"Pertumbuhan akan didorong oleh kenaikan purata harga jualan (ASP) suku ke suku sebanyak 50% kepada AS$50 (RM202.25) setiap kotak 1,000 keping sarung tangan.

 

"Oleh kerana ASP Hartalega berasal dari asas yang rendah iaitu AS$33.80 setiap kotak pada suku kedua (tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, kenaikan magnitud kemungkinan lebih tinggi (berbanding kenaikan Top Glove)," jelas RHB Investment Bank seperti dilapor Bernama.

 

Keputusan kewangan bagi suku ketiga itu bagaimanapun akan diumumkan dalam tempoh dua hingga empat minggu lagi.

 

Dalam nota kajian yang sama,  RHB Investment Bank mengambil pendekatan mengekalkan saranan 'beli' saham Hartalega dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM23.50.

 

Terdahulu, Hartalega berjaya mencatatkan peningkatan jumlah keuntungan lima kali ganda kepada RM544.96 juta pada suku kedua 2021.

 

Keuntungan yang dicapai pada tempoh berakhir 30 September 2020 itu merupakan jumlah keuntungan bersih suku tahunan yang terbaik pernah dicapai syarikat berkenaan.

 

Jumlah keuntungan bersih untuk suku kedua 2021 meningkat lima kali ganda kepada RM544.96 juta berbanding RM103.87 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Pendapatan sesaham juga melonjak kepada 15.95 sen berbanding 3.09 sen pada sebelumnya. - DagangNews.com