Pendapatan Q4 Westports susut 7% kepada RM503.9 juta | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Q4 Westports susut 7% kepada RM503.9 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - Pendapatan Westports Holdings Bhd. bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 susut 6.9% kepada RM503.9 juta berbanding RM541.54 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Sebaliknya, untung bersih bagi tempoh itu meningkat 36.31% kepada RM222.88 juta berbanding RM163.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM2.02 bilion berbanding RM1.97 bilion tahun lalu yang menyaksikan segmen kontena menyumbang 88% kepada hasil operasi dengan volum pemprosesan sebanyak 10.4 juta TEU.

 

Keputusan Westports juga termasuk pemulihan insurans sekali sahaja berjumlah RM73 juta dan bahagian kerugian dengan pelaburan 50% dalam Pelabuhan Klang Cruise Terminal Sdn Bhd, yang dahulunya dikenali sebagai Boustead Cruise Centre Sdn. Bhd.

 

Selepas membuat peruntukan cukai sebanyak RM231 juta, kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM808.22 juta bagi FY21 daripada RM654.49 juta bagi tahun kewangan sebelumnya. 

 

Kumpulan membayar dividen interim pertama berjumlah RM290 juta pada Ogos 2021 manakala bayaran interim kedua sebanyak 9.28 sen sesaham berjumlah RM316 juta akan dibayar pada 24 Februari 2022.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, walaupun berdepan cabaran persekitaran ekonomi luaran dan rantaian bekalan, tetapi keuntungan kumpulan masih di tahap yang baik. 

 

Pada masa sama, katanya, ujan lebat Disember lalu telah mengakibatkan beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami masalah banjir, tetapi tidak membabitkan kawasan terminal. 

 

"Kesemua peralatan operasi terminal dan kemudahan penting tidak terjejas. Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dan memastikan operasi terminal kekal tidak terjejas berikutan risiko keadaan cuaca yang luar biasa disebabkan perubahan iklim," katanya.

 

Westports mengendalikan penghantaran dan penghantaran kontena pintu masuk masing-masing sebanyak 6.75 juta dan 3.65 juta TEU. - DagangNews.com