Pendapatan suku ketiga KPower ‘mencanak’ 334% | DagangNews Skip to main content

Pendapatan suku ketiga KPower ‘mencanak’ 334%

Gambar www.kpower.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Syarikat tenaga, Kpower Berhad mencatatkan hasil bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) berakhir 31 Mac lalu berkembang sehingga 334% atau RM105.98 juta kepada RM137.66 juta.

 

Seiring lonjakan itu, Kpower turut menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat RM11.55 juta kepada RM14.23 juta bagi suku tahun sama, jelas kumpulan.

 

Katanya, ini merupakan prestasi yang memberangsangkan buat kali suku tahun ke-8 berturut-turut yang dicatatkan kumpulan.

 

“Tunjang utama kepada (prestasi) kumpulan adalah segmen aktiviti berkaitan pembinaan yang kekal menjadi penyumbang hasil terbesar bagi 3QFY21 dengan jumlah RM127 juta atau kira-kira 92% daripada jumlah hasil.

 

“Ini disumbangkan oleh kemajuan di tapak projek sedia ada, bermulanya kerja-kerja di Indonesia dan juga didorong oleh projek berdasarkan pesanan di Malaysia dan luar negara. Segmen logistik menjadi penyumbang hasil kedua terbesar kumpulan dengan jumlah RM5.12 juta, dipacu perkhidmatan pengangkutan oleh anak syarikat yang baru diambil alih, Chemtrax Sdn. Bhd.

 

“Sementara itu, segmen penjagaan kesihatan kumpulan juga mencatatkan hasil yang lebih tinggi dengan ketara bernilai RM4.56 juta, didorong jualan lebih tinggi dicatatkan oleh pengedaran produk berkaitan COVID-19 di Indonesia,” jelas KPower menerusi satu kenyataan hari ini.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY21 (9MFY21), kumpulan menyaksikan pendapatannya berkembang 404% atau RM228.30 juta kepada RM284.79 juta daripada RM56.48 juta.

 

PAT pula bernilai RM31.62 juta daripada RM5.47 juta, peningkatan RM26.15 juta bagi tempoh sama.

 

Mengulas mengenai situasi COVID-19 semasa, KPower melihat ini merupakan satu peluang buat kumpulan memandangkan kerajaan di seluruh dunia berterusan menyokong perniagaan dan mengurangkan impak ke atas ekonomi.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun berkata, pandemik COVID-19 mendatangkan pelbagai cabaran buat KPower dan sejak itu, syarikat tenaga berkenaan berjaya menyesuaikan perniagaannya dalam mempertahankan keuntungan dan kemampanan untuk tempoh jangka panjang.

 

Mustakim Mat Nun
Mustakim Mat Nun

 

“Bagi tempoh dua tahun lalu, usaha berterusan pihak pengurusan untuk menambah baik tenaga kerja menerusi pembangunan kepakaran, keupayaan dan kapasiti dalaman telah mewujudkan hasil yang positif.

 

“Aktiviti berkaitan pembinaan akan terus menjadi pemacu perniagaan utama kumpulan. Kami akan terus memanfaatkan dan mengukuhkan kehadiran di peringkat serantau di samping mempelbagaikan tawaran produk sebagai strategi utama untuk memanfaatkan pertumbuhan industri,” jelasnya lanjut.

 

Setakat 3.49 petang, harga saham KPower meningkat 6 sen kepada RM1.68. - DagangNews.com