Pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan kerjasama bersepadu jadi asas pelaksanaan GRP - PM | DagangNews Skip to main content

Pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan kerjasama bersepadu jadi asas pelaksanaan GRP - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Pendekatan “Keseluruhan Kerajaan” atau “Whole-ofGovernment Approach” yang menitik beratkan kerjasama rapat dan bersepadu semua kementerian, agensi, dan jabatan menjadi asas pelaksanaan Amalan Baik Peraturan atau Good Regulatory Practice (GRP) .

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penglibatan pihak swasta, industri dan komuniti perniagaan di dalam GRP juga akan dipertingkatkan.

 

"Ingin saya tekankan di sini bahawa prinsip, elemen, dan proses dalam kaedah GRP mesti diterima pakai oleh semua kementerian dan agensi pengawal selia dalam penggubalan dan semakan dasar serta peraturan.

 

"Elemen-elemen GRP antaranya Analisis Impak Peraturan, Analisis Kos Faedah, dan Penilaian Notifikasi Peraturan mesti dilaksanakan dengan teliti.

 

"Data dan maklumat yang terangkum harus membuktikan bahawa tindakan peraturan benar-benar membawa kepada kesejahteraan rakyat," katanya ketika pada persidangan Kebangsaan Amalan Baik Peraturan (GRP), secara maya hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, dasar dan peraturan yang berkualiti bakal memudah cara operasi perniagaan, meningkatkan ketelusan dan meminimumkan bebanan kos serta sumber bagi membolehkan Industri boleh berkembang dengan lebih dinamik dan anjal untuk kekal berdaya saing.

 

Beliau berkata, dalam mencapai sasaran itu pendekatan dasar dan peraturan berasaskan bukti atau Evidence-Based Policy (EBP) akan diterapkan dalam mekanisme perancangan, penilaian, dan pemantauan supaya dapat menjamin pembaharuan struktural yang menyeluruh bagi kelestarian pertumbuhan produktiviti dan ekonomi. 

 

"Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui mandat Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDigital) menerimapakai pendekatan EBP dalam memenuhi keperluan perniagaan ekonomi digital melalui Regulatory Experimentations (RE).

 

Perdana Menteri juga menyokong penuh inisiatif pembangunan peraturan berkualiti dalam merealisasikan agenda ini seperti yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
 

Beliau juga yakin mandat yang diberikan kepada MPC untuk meneraju pembaharuan peraturan akan dijalankan dengan penuh tanggungjawab dalam memudah cara pelaksanaan GRP.-Dagangnews.com