Pendeposit TH kini boleh guna CIMB Clicks | DagangNews Skip to main content

Pendeposit TH kini boleh guna CIMB Clicks

KUALA LUMPUR 24 Julai - CIMB Islamic Bank Bhd selaku rakan strategik Lembaga Tabung Haji (TH) menyertakan perkhidmatan TH yang kini merangkumi perbankan dalam talian menerusi CIMB Clicks.

Sebelum ini, kolaborasi antara TH dan CIMB Islamic sejak 2019 telahpun memberi akses kepada perkhidmatan TH di lebih 2,900 rangkaian terminal layan diri CIMB seluruh negara.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua entiti tersebut, pengenalan akses terbaharu melalui CIMB Clicks ini akan memudahkan hampir sembilan juta pendeposit TH melaksanakan transaksi TH seperti pindahan wang dari akaun TH ke akaun CIMB dan sebaliknya.

``Selain itu, ia turut membolehkan pindahan wang ke akaun pihak ketiga TH, pertanyaan baki simpanan serta pendaftaran dan pembatalan 'link’ akaun TH kepada akaun CIMB'," menurut TH dan CIMB Islamic hari ini.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, kerjasama strategik itu akan meningkatkan akses perkhidmatan TH dari lebih 10,000 rangkaian perkhidmatan kepada satu jumlah yang lebih tinggi kerana potensi perkhidmatan perbankan dalam talian adalah besar.

Katanya pendeposit juga boleh melakukan urusan tanpa perlu ke pejabat TH.

Perkhidmatan perbankan dalam talian CIMB Clicks boleh dicapai menerusi laman web https://www.cimbclicks.com.my.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff
Ahmad Shahriman Mohd Shariff

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, menerusi kemudahan perbankan dalam talian CIMB Clicks, pelanggan CIMB sama ada yang mempunyai akaun CIMB Bank atau CIMB Islamic, boleh mengakses perkhidmatan TH sekali gus melakukan transaksi di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Menurutnya, kemudahan dan akses atas talian ini akan ditambah nilai dari semasa ke semasa, selaras dengan iltizam kami untuk membangun CIMB sebagai sebuah Bank Digital untuk masa hadapan.

Beliau turut menyarankan kepada lebih empat juta pelanggan bumiputera CIMB untuk menghubungkan (linkage) akaun CIMB mereka kepada akaun TH sedia ada bagi menikmati pelbagai kemudahan perbankan antara kedua-dua akaun ini. – DagangNews.com