Penduduk Selangor kembali berdepan PKP 1.0?  | DagangNews Skip to main content

Penduduk Selangor kembali berdepan PKP 1.0? 

 

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Selangor yang setiap minggu merekodkan kes jangkitan baharu COVID-19 paling tinggi antara semua negeri, kemungkinan akan berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

 

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sekiranya usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes di negeri itu.

 

Malah, beliau juga bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilaksanakan di Selangor, yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari ketika ini.

 

Ini kerana katanya, pelaksanaan PKP di seluruh negara ketika ini membolehkan Kementerian Kesihatan melaksanakan lebih banyak ujian dan pengasingan serta merawat kes positif, di samping kerjasama kerajaan negeri untuk mengendali ujian RTK-Antigen di kawasan ada kaitan epidemiologi yang tinggi.

 

"Ia juga membenarkan kita melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat dan melaksanakan keseluruhan pencegahan dan kawalan kesihatan awam.

 

"Namun saya bersetuju bahawa kita perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya SOP lebih ketat dilaksanakan.

 

"Jika membabitkan ketidakupayaan mengekang jangkitan, maka cadangan pelaksanaan PKP penuh boleh dipertimbangkan," katanya dalam sidang media mingguan seperti dilapor Berita Harian hari ini.

 

Sumber : KKM
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

 

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kawalan yang longgar di Selangor walaupun negeri itu mencatat lonjakan kes harian melebihi 1,000 secara berterusan ketika ini.

 

Minggu lalu sahaja, Selangor merekodkan 10,393 kes dengan 1,650 kes direkodkan hari ini. - DagangNews.com