Peng Soon kembali ke pangkuan BAM untuk hidup peluang ke Paris 2024 | DagangNews Skip to main content

Peng Soon kembali ke pangkuan BAM untuk hidup peluang ke Paris 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku pemain beregu campuran dalam usaha menghidupkan peluang ke Sukan Olimpik Paris 2024.

 

Difahamkan pemain berusia 33 tahun itu akan bergandingan bersama pemain baharu yang terdapat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

 

Dia bukan sahaja akan menjadi pemain dalam skuad kebangsaan malahan akan memainkan peranan selaku mentor dalam membimbing barisan pemain muda yang ada dallam pasukan itu.

 

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya berbesar hari untuk menerima semula pemain berpengalaman seperti Peng Soon yang akan mula menyertai skuad kebangsaan pada 1 Januari ini.

 

"Dalam permohonannya sebelum ini, dia menyuarakan hasratnya untuk merebut tempat di Paris 2024 dan memberitahu kesudiannya dalam membimbing pemain muda untuk terus berkembang dalam kerjaya mereka.

 

"Kami berharap dia akan berkongsi segala pengalaman yang dimiliki dan kami percaya kehadirannya akan menjadi pelengkap kepada pemain muda di dalam skuad ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Semalam, Peng Soon mengumumkan perpisahannya dengan Goh Liu Ying dan memaklumkan saingan Akhir Jelajah Dunmia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bali, Indonesia yang berakhir, kelmarin adalah kejohanan terakhir mereka.

 

Aksi di Bali menyaksikan pasangan ranking No. 9 dunia itu berjaya mara sehingga separuh akhir sebelum tewas di tangan Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, Sabtu lalu.

 

Peng Soon-Liu Ying yang mula bergandingan pada 2009 berjaya meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuklah pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

 

Sepanjang bersama, mereka pernah berada di ranking ketiga dunia pada 2013. - DagangNews.com