Pengambilalihan ekuiti Hypercold perkukuh ‘kuasa’ Tasco - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan ekuiti Hypercold perkukuh ‘kuasa’ Tasco - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Langkah Tasco Berhad untuk mengambil alih 50% kepentingan dalam Hypercold Logistics Sdn. Bhd. (Hypercold) akan memperkukuhkan lagi kedudukan syarikat itu sebagai penyedia rangkaian sejuk utama di Malaysia. 

 

Untuk rekod, Logistik Rangkaian Bekalan Sejuk (CSCL) Tasco merupakan perkhidmatan rangkaian sejuk terbesar di Malaysia dengan penguasaan pasaran kira-kira 35%. 

 

Bagi penganalisis di MIDF Research, Ummar Fitri, ini sekaligus menandakan pengembangan pertama Tasco di Timur Malaysia memandangkan Hypercold merupakan pemain industri terbesar di Sabah.

 

“Kami mengambil kira andaian konservatif ke atas impak unjuran perolehan daripada pengambilalihan ini. 

 

“Ramalan kami berdasarkan parameter terdahulu dengan pertumbuhan hasil satu digit Hypercold dan margin keuntungan dua digit bagi syarikat disasarkan. 

 

“Kami menyemak semula unjuran perolehan kepada RM41.4 juta dan RM46.0 juta (daripada RM41.0 juta dan RM45.7 juta) masing-masing bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22,” jelas Ummar dalam sebuah nota kajiannya hari ini. 

 

Semalam, Tasco mengumumkan pengambilalihan 50% kepentingan Hypercold pada kadar RM10.55 juta.

 

Pengambilalihan tersebut sejajar dengan pembelian 50% lagi kepentingan dalam Hypercold oleh Swift Integrated Logistics Sdn. Bhd. (Swift) bernilai RM21.10 juta.

 

Ini dijangka selesai pada suku kedua tahun 2021 (2Q21).

 

Hypercold menawarkan perkhidmatan berkaitan logistik rangkaian sejuk, gedung penyimpanan dan pengangkutan barangan. 

 

Menurut kumpulan itu, Hypercold mempunyai gedung rangkaian sejuk terbesar di Sabah dengan kapasiti 3,000 ruang palet dan empat trak kawalan suhu.

 

Sementara itu, Tasco pula menyaksikan pelanggan utama terdiri daripada peruncit barang pengguna bergerak pantas (FMCG), pemain industri makanan dan minuman (F&B) selain farmaseutikal.

 

Menerusi pengambilalihan kepentingan Hypercold, Tasco bakal menyaksikan kapasiti paletnya meningkat kepada kira-kira 53,000 hingga 56,000. 

 

Setakat 12.30 tengah hari, nilai saham Tasco menyusut 2 sen kepada RM1.22. 

 

MIDF menyarankan untuk ‘tambah’ saham Tasco dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM1.38. - DagangNews.com