Pengambilan buruh asing dihadkan dalam tiga sektor sahaja | DagangNews Skip to main content

Pengambilan buruh asing dihadkan dalam tiga sektor sahaja

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia telah menetapkan dasar pengambilan pekerja asing untuk dihadkan kepada tiga sektor sahaja iaitu pembinaan, pertanian dan perladangan. 

Langkah itu diambil bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di samping mengurangkan jumlah buruh asing yang kini mencecah 2 juta orang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Solahudin Hashim kepada Dewan Rakyat hari ini. 

“Kerajaan telah membuat garis panduan sebagai dasar untuk mengurangkan pekerja asing.

“Hanya tiga sektor ini sahaja yang dibenarkan pengambilan pekerja asing, lain-lain sektor perlu diisi oleh pekerja tempatan,” katanya. 

 

Awang Solahudin
Awang Solahudin Hashim

 

Beliau menjawab soalan Jugah Muyang (Bebas - Lubok Antu) berhubung apakah dasar yang akan dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing bagi memberi peluang kepada rakyat tempatan. 

Isu itu dibangkitkan susulan ramai rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan akibat penularan jangkitan COVID-19, sekaligus menjejaskan operasi kebanyakan syarikat di negara ini.

Dalam pada itu, isu berhubung gaji minimum sekurang-kurangnya RM1,200 akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat pada musim ini.

“Sebanyak 56 majlis perbandaran telah melaksanakan penyelarasan gaji itu, tetapi yang lain masih kekal dengan gaji (minimum) lama RM1,100.

“Kerajaan akan perincikan penyelarasan di semua peringkat untuk dilaksanakan. Hal ini akan dibentangkan kepada parlimen dalam musim ini supaya ia akan menjadi penyelarasan kepada gaji minimum,” tambah beliau. - DagangNews.com