Pengambilan pekerja baharu dihadkan, 30% gaji dipotong | DagangNews Skip to main content

Pengambilan pekerja baharu dihadkan, 30% gaji dipotong

Tiga daripada empat syarikat di Malaysia berkemungkinan besar akan melakukan pengurangan kos perbelanjaan untuk pengambilan pekerja susulan wabak pandemik COVID-19.

KUALA LUMPUR 26 Jun – Tiga daripada empat syarikat di Malaysia berkemungkinan besar akan melakukan pengurangan kos perbelanjaan untuk pengambilan pekerja susulan wabak pandemik COVID-19.

Menurut tinjauan syarikat perunding sumber manusia, Mercer, kebanyakan syarikat dilihat lebih mengutamakan penglibatan kakitangan dan inisiatif sokongan yang sedia ada, berbanding membuka peluang pekerjaan baharu.

“Sebanyak 201 syarikat yang ditinjau, 13% syarikat menyatakan mereka sedang mempergiat program dan sistem kerja yang lebih fleksibel dan bersesuaian. Manakala 11% syarikat lain merancang untuk meningkatkan kadar manfaat kesihatan.

“Tinjauan itu juga mendapati 86% syarikat tidak melakukan pengurangan gaji, 11% bertindak menyusun semula struktur bonus dan hanya 4% syarikat mengambil keputusan mempertimbangkan pemberhentian kerja,” katanya dalam laporan Kaji Selidik Mercer Pulse, hari ini.

Ketua industri serantau dan produk kerjaya bagi Asia Pasifik, Godelieve Van Dooren pula berkata, syarikat lebih kepada melindungi kehidupan para pekerja dan turut melihat kepada faktor-faktor lain.

“Syarikat mengutamakan penglibatan dan kesejahteraan para pekerja di samping penelitian terhadap kos tenaga kerja. Ini memberi gambaran bahawa pekerja adalah aset mereka yang paling bernilai, lebih-lebih lagi pada masa seperti ini.

“Sektor yang menunjukkan pengurangan anggaran kenaikan gaji terbesar termasuk perkhidmatan bukan kewangan (5.1% hingga 3.3%), pembuatan (5.1% hingga 3.8%); peruncitan dan borong (5% hingga 4%). Diikuti juga oleh barangan pengguna (5% hingga 4.6%) serta sains sosial (5.3% hingga 5%), katanya.

Ujarnya lagi, insentif penjualan turut berlaku perubahan apabila 11% syarikat mengubah rancangan jualan sementara 27% syarikat lain akan bergerak mengikut kesesuaian berdasarkan sasaran dan rancangan penjualan mengikut anggaran komisen.

Sementara itu, Ketua Perunding Mercer (M) Sdn Bhd, Koay Gim Soon berkata, kebanyakan syarikat yang sedang dalam situasi getir akan melaksanakan pengurangan gaji atau pengurangan jumlah pekerja untuk mendepani krisis kewangan.

“Syarikat yang kurang terjejas kemungkinan besar akan mengekalkan kos gaji semasa dengan pembekuan pengambilan pekerja. Tetapi syarikat harus melihat krisis ini sebagai peluang untuk berkembang dan memperkuat budaya kerjanya.

“Mana-mana syarikat yang mengutamakan kesejahteraan pekerja sama ada melalui program kesejahteraan, sokongan penjagaan kesihatan dan fleksibiliti akan memberi nilai tambah dalam jangka masa panjang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan JobStreet pula mendapati satu daripada tiga pekerja melaporkan pengurangan gaji lebih 30%, sekali gus menimbulkan kebimbangan kewangan dan keselamatan pekerjaan.

“Sembilan daripada 10 pekerja menerima kesan negatif apabila 48% akan berdepan dengan risiko pemotongan gaji, manakala 24% yang lain diminta untuk bercuti.

“Situasi ini akan menyebabkan turunnya prestasi kerja terutamanya dalam sektor yang berorentasikan layanan dan mereka yang memiliki anak kecil. Prestasi pekerja dalam sektor PKS juga turut terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional jangka pendek yang diumumkan kerajaan dijangka membantu pengurangkan bebanan akibat wabak COVID-19.

"Ini termasuk pas perjalanan tanpa had My30, penyediaan data Internet 1GB percuma, geran perniagaan untuk PKS serta geran kewangan lain," tambahnya lagi.