Pengambilan pekerja warga asing akan dibuka secara berperingkat bermula 28 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

Pengambilan pekerja warga asing akan dibuka secara berperingkat bermula 28 Januari 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jan - Permohonan pengambilan pekerja warga asing ini akan dibuka secara berperingkat bagi sektor yang dibenarkan.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, permohonan akan dibuka mulai 28 Januari 2022 untuk pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas.

 

Beliau berkata, permohonan pekerja warga asing untuk sektor-sektor lain yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas akan dibuka pada 15 Februari 2022. 

 

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember 2021 bersetuju untuk pengambilan pekerja warga asing dalam sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing dan permohonan boleh dibuat majikan menerusi laman web www.fwcms.com.my," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Saravanan mengingatkan semua majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing yang ditetapkan kerajaan yang merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin. 

 

Beliau berkata, semua pekerja asing perlu menjalani tempoh kuarantin tujuh hari dan ujian saringan COVID-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung oleh majikan. 

 

"Ketika ini, semua pusat kuarantin berada di Lembah Klang dan kapasiti yang boleh ditampung oleh pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin adalah sebanyak 10,000 orang pada satu-satu masa.

 

"Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan khidmat pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin dengan mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri," katanya. - DagangNews.com