Penganalisis kekal berhati-hati terhadap usaha Astro raih semula langganan | DagangNews Skip to main content

Penganalisis kekal berhati-hati terhadap usaha Astro raih semula langganan

Astro akan menikmati tambahan pendapatan langganan RM5 sebulan menerusi Disney+ Hotstar mulai 1 Julai ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Dalam usaha untuk mendapatkan semula pelanggannya, Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap kos kandungan yang perlu ditanggung Astro Malaysia Holdings dalam tempoh suku kedua ini. 

 

Ini terutamanya membabitkan acara sukan antarabangsa seperti Olimpik Tokyo dan Euro 2020, menurut penganalisisnya, Pritika Modhgil dalam nota kajian.

 

Bagaimanapun, firma itu meletakkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 kekal tidak berubah.

 

Ia juga menyemak turun saham Astro kepada 'market perform' dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.20 berbanding RM1.12 sebelum itu.

 

"Dengan adanya perkhidmatan penstriman baharu dan sasaran untuk mendapatkan 15 perkhidmatan video on demand (SVOD) menjelang suku pertama tahun hadapan, kami yakin kumpulan ini dapat memperoleh kembali pelanggan mereka yang hilang," jelasnya.

 

 

Baca : Untung bersih Astro melonjak lebih 90%

 

 

Astro Ultra dan Ulti box terus mendapat perhatian pelanggan dengan lebih 70,000 unit dipasang pada suku pertama ini, yang mencerminkan permintaan positif.

 

Bagaimanapun, menurut Kenanga Research, pendapatan langganan kumpulan terus menunjukkan penurunan meskipun kumpulan mengambil beberapa langkah proaktif untuk meningkatkan pendapatan purata setiap pengguna (​ARPU).

 

"Sebagai contoh, kerjasama baru-baru ini dengan Walt Disney dengan menawarkan Disney+ Hotstar mulai 1 Jun lalu dapat membantu mendapatkan semula pelanggannya.

 

"Tambahan pula, kumpulan turut melancarkan perkhidmatan penstriman, sooka pada 8 Jun lalu yang menawarkan kandungan percuma dan berbayar dengan sasaran menarik golongan milenial sekali gus dapat meningkatkan semula pendapatan kumpulan di bawah segmen televisyen," tambahnya.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022, untung bersih Astro meningkat lebih 90% kepada RM141.25 juta berbanding RM73.84 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Perolehan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM1.06 bilion berbanding tempoh sama sebelumnya, RM1.05 bilion.

 

Sementara itu, CGS-CIMB menyifatkan prestasi kewangan Astro pada suku berkenaan adalah dalam jangkaannya, memandangkan firma itu mengunjurkan prestasi lebih baik pada suku berikutnya.

 

Malah, katanya, Astro juga akan menikmati tambahan pendapatan langganan RM5 sebulan menerusi Disney+ Hotstar mulai 1 Julai ini. 

 

"Kami juga yakin penjualan iklan akan meningkat terutama berkaitan Ramadan dan Hari Raya, selain iklan  Kejuaraan Bola Sepak Eropah UEFA 2020 (11 Jun hingga 11 Julai 2021)," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengulangi saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.51 dan mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 hingga 2024.

 

Menurut CGS-CIMB, dalam taklimat prestasi kewangan suku pertama kepada penganalisis semalam, Astro mengumumkan langganan berasaskan SVOD akan menyertai rangkaian itu tidak lama lagi.

 

Sebelum ini, terdapat khabar angin Astro akan menjalin kerjasama dengan Netflix tetapi belum ada sebarang pengumuman dibuat setakat ini. - DagangNews.com