Penganalisis saran ‘beli’ dan ‘tambah’ saham Axis REIT | DagangNews Skip to main content

Penganalisis saran ‘beli’ dan ‘tambah’ saham Axis REIT

Gambar www.axis-reit.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Dua firma penyelidikan, MIDF Research dan CGS-CIMB Research masing-masing menyarankan untuk ‘beli’ dan ‘tambah’ saham syarikat hartanah, Axis Real Estate Investment Trust (REIT).

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Axis REIT berdasarkan prospek pertumbuhan stabil dari segi portfolio aset perindustrian kumpulan. 

 

“Prospek perolehan juga stabil memandangkan penyewa-penyewa syarikat kebanyakannya masih beroperasi.

 

“Sementara itu, kadar hasil agihan diunjurkan pada kadar 4.2%.

 

“Kami mengekalkan sasaran harga (TP) bagi Axis REIT pada kadar RM2.04, berdasarkan Model Diskaun Dividen (DDM),” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Axis REIT mencatatkan pendapatan teras bersih sebanyak RM32 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21), sejajar unjuran dibuat oleh MIDF dan CGS-CIMB. 

 

Angka itu 9.2% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu yang disokong oleh perolehan dalam sewa daripada pengambilalihan aset baharu. 

 

Ini mengimbangi kerugian daripada D8 Logistics Warehouse yang tamat sewa sejak Oktober 2020.

 

Syarikat itu juga mengisytiharkan agihan setiap unit (DPU) bagi interim pertama sebanyak 2.23 sen.

 

Senada MIDF, penganalisis di CGS-CIMB, Sharizan Rosely membuat saranan 'tambah' dengan TP dikekalkan pada RM2.44 sesaham.

 

Jelasnya, pemangkin bagi penilaian semula saham kumpulan termasuk pengambilalihan aset baharu dan pendapatan sewa yang lebih kukuh selain pengambilan untung susulan nilai saham lemah yang menunjukkan peluang pembelian. 

 

“Portfolio kadar penghunian masih baik, 91% setakat penghujung 1Q21. Strategi pertumbuhan aset kumpulan dalam ruangan logistik dan gedungnya masih kukuh bagi FY21, kira-kira RM135 juta nilai pengambilalihan dalam rancangannya, sebanyak RM267 juta dari lima aset baharu telah diselesaikan pada FY20.

 

“Untuk rekod, pada Mac, kumpulan itu membuat pengambilalihan pertama dalam FY21 ke atas hartanah perindustrian di Shah Alam bernilai RM120 juta dengan unjuran kira-kira 2.9% hingga 4.2% sumbangan pendapatan hartanah bersih (NPI) setiap tahun,” tambah Sharizan. 

 

Setakat 10.20 pagi, nilai saham Axis REIT menokok 2 sen kepada RM1.94. - DagangNews.com