Pengekalan tarif elektrik semasa, MIDF turunkan TNB kepada 'Neutral' | DagangNews Skip to main content

Pengekalan tarif elektrik semasa, MIDF turunkan TNB kepada 'Neutral'

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - MIDF Research menurunkan saranan Tenaga National Bhd (TNB) kepada NEUTRAL daripada BELI serta mengurangkan harga sasaran (TP) sahamnya daripada RM11.80 kepada RM9.55 untuk mencerminkan kebimbangan kawal selia yang muncul selepas kerajaan memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik semasa.

 

Dalam nota kajiannya hari ini, MIDF Research berkata, keputusan untuk menangguhkan semakan tarif itu adalah mengejutkan, memandangkan ia merupakan penangguhan kedua seumpamanya dan kedudukan ICPT TNB yang di bawah pemulihan sebanyak RM1.3 bilion pada 3QFY21 merupakan hasil daripada kenaikan harga pasaran arang batu dan gas. 

 

"Walaupun semakan kami semalam menunjukkan bahawa aliran tunai TNB akan kekal neutral kepada keputusan untuk mengekalkan rebat ICPT, gangguan dalam proses penetapan tarif menimbulkan kebimbangan kawal selia, terutamanya di tengah-tengah kenaikan harga bahan api global. 

 

"Selain itu, ini bermakna ketidakpastian mengenai penentuan pulangan terkawal RP3 akan berpanjangan dan kekal tergantung dalam masa terdekat," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Minggu lalu, TNB dalam makluman di Bursa Malaysia berkata, kerajaan meneruskan parameter semasa Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi lanjutan tempoh kawal selia kedua dan mengekalkan jadual tarif elektrik semasa berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 dan sehingga dimaklumkan kemudian.

 

Pihak kerajaan juga memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme ICPT di samping mengekalkan rebat ICPT pada 2.00 sen/kWh yang sedang dilaksanakan bagi semua pelanggan, termasuk pelanggan domestik dengan penggunaan bulanan 300 kWh dan ke bawah, berkuat kuasa tarikh yang sama. 

 

Syarikat utiliti negara itu bagaimanapun memaklumkan, kesan pelaksanaan ICPT, berlandaskan Panduan Pelaksanaan Kawal Selia (RIG), adalah neutral ke atas TNB dan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi perniagaan dan kedudukan kewangan.

 

Dalam pada itu MIDF berkata, persepsi pasaran terhadap perkembangan terkini berpotensi sebagai risiko pengawalseliaan kepada TNB dan ia mungkin menghadkan kenaikan saham dalam jangka masa terdekat, ditambah dengan kebimbangan ESG yang masih berlarutan. 

 

"Oleh itu, kami menurunkan taraf TNB kepada NEUTRAL daripada BELI dan menurunkan TP kami kepada RM9.55 daripada RM11.80 sebelum ini kerana kami kini memasukkan premium risiko yang lebih tinggi ke dalam penilaian Aliran Tunai Terdiskaun (DCF) kami.

 

"Namun begitu, risiko terbalik kepada panggilan kami mungkin timbul daripada pengumpulan aset tenaga boleh diperbaharui (RE) TBB yang lebih agresif daripada jangkaan berbanding sasaran kapasiti 8300MW RE TNB menjelang 2025," katanya. -DagangNews.com