Pengeluaran China berkembang 7% pada November | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran China berkembang 7% pada November

 

 

 

BEIJING 15 Dis. - Pengeluaran perindustrian China berkembang pada November bagi tempoh 8 bulan berturut-turut apabila permintaan global semakin meningkat seiring pemulihan ekonomi. 

 

Data yang dikeluarkan Biro Statistik Kebangsaan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan pengeluaran perindustrian tumbuh pada 7% untuk November, lapor Reuters. 

 

Pertumbuhan itu sejajar dengan jangkaan penganalisis yang dijalankan kaji selidik Reuters dan lebih pantas berbanding 6.9% pada Oktober. 

 

China kembali mencatatkan pemulihan pertumbuhan ekonomi selepas lumpuh awal tahun ini akibat pandemik COVID-19 dengan sebahagian besarnya didorong oleh prestasi eksport. 

 

Acara jualan tahunan yang dianjurkan gergasi e-dagang China turut merangsang perbelanjaan pengguna dan meningkatkan tempahan kepada kilang-kilang bersaiz kecil. 

 

Ia menyaksikan jualan runcit berkembang 5%, berbanding unjuran penganalisis pada 5.2% tetapi lebih tinggi berbanding 4.3% pada Oktober. 

 

Dalam masa sama, jualan automotif tumbuh 11.8% manakala jualan bagi peralatan isirumah berkembang 5.1% pada November. Jualan bagi peralatan komunikasi pula melonjak 43.6%.  

 

Bagi tempoh Januari hingga November, pelaburan aset tetap berkembang 2.6% berbanding tempoh sama tahun lalu sejajar dengan unjuran pertumbuhan 2.6% berbanding 1.8% bagi tempoh 10 bulan pertama 2020. 

 

Pemulihan ekonomi China berkembang pantas pada suku keempat disokong oleh permintaan kukuh, pertumbuhan kredit dan rangsangan fiskal yang dijangka memberi rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi pada 2021. 

 

Aktiviti perkilangan juga mencecah paras tertinggi 3 tahun pada November, menurut satu kaji selidik apabila pandemik COVID-19 semakin berkurangan dan meningkatkan keyakinan pengguna. - DagangNews.com