Pengeluaran getah asli pada November 2021 susut 26.8% | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli pada November 2021 susut 26.8%

KUALA LUMPUR 14 Jan - Pengeluaran getah asli Malaysia merosot sebanyak 26.8% kepada 31,577 tan pada November 2021 berbanding 43,127 tan pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Malah, perbandingan tahunan turut menunjukkan pengeluaran berkurangan sebanyak 25.8% berbanding 42,554 tan pada November 2020.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ppenurunan itu disebabkan berlakunya gangguan bekalan di peringkat penawaran akibat ketidaktentuan cuaca dan faktor taburan hujan yang tinggi.

 

Katanya, jumlah stok getah asli susut 4.2% kepada 269,757 tan pada November 2021 berbanding 281,718 tan pada Oktober 2021.

 

“Kilang pemprosesan getah menyumbang stok akhir sebanyak 92% diikuti kilang pengguna getah (7.9%) dan estet getah (0.1%).

 

"Pengeluaran pada November lepas disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.8%) berbanding sektor estet sebanyak (10.2%),” katanya dalam laporan Perangkaan Getah Bulanan November 2021 yang dikeluarkan hari ini.

 

Dalam tempoh 11 bulan pertama 2021, prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia menyaksikan penyusutan sebanyak 7.7% iaitu 429,062 tan berbanding 464,878 tan pada tempoh sama 2020.

 

Eksport getah asli turun 2% kepada 60,942 tan pada November 2021 berbanding 62,167 tan pada bulan sebelumnya.

 

Menurut Mohd. Uzir, China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 44.6% daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2021 diikuti Amerika Syarikat (11.4%), Jerman (5.1%), Iran (4%) dan Finland (3.7%).

 

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.5 bilion pada November 2021, susut sebanyak 4.9% berbanding RM2.6 bilion pada Oktober 2021,” katanya.

 

Beliau berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat mencatat peningkatan sebanyak 6.2% kepada 553.64 sen sekilogram pada November lepas berbanding 521.20 sen sekilogram pada Oktober 2021.

 

"Keadaan sama turut melibatkan semua jenis Getah Mutu Malaysia (SMR) yang meningkat antara 1.1 hingga 6.1%," katanya. -DagangNews.com