Pengeluaran khas KWSP bantu rancakkan aliran tunai dalam pasaran - penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran khas KWSP bantu rancakkan aliran tunai dalam pasaran - penganalisis ekonomi

Hasil kerancakan ekonomi jual beli dan aktiviti yang berlaku dalam pasaran boleh menstabilkan kos pengeluaran. - Gambar Bernama
Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 22 Mac - Keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas RM10,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) membantu merancakkan lagi aliran tunai dalam pasaran.

 

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Sabah, Mohammad Firdaus Mohamad berkata, ia berikutan hasil daripada perbelanjaan individu yang mempunyai lebihan tunai dalam tangan atau ‘surplus’.

 

Menurut beliau, ia boleh mengoptimumkan skala pengeluaran barangan dengan mengimbangi permintaan yang meningkat secara mendadak.

 

“Kesannya kos pembuatan barangan akan menurun kerana permintaan yang banyak mengikut teori ekonomi,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Selain itu kata beliau, kesan jangka pendek kepada perniagaan juga adalah peningkatan ketara hasil jualan dalam masa terdekat berikutan keadaan yang menghampiri bulan ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. 

 

Katanya, kekuatan kewangan individu dalam jangka masa itu boleh mempengaruhi daya pembelian pengguna, apabila adanya promosi barangan, jenis barangan dan juga barang keperluan perayaan diperhebatkan.

 

“Untuk jangka masa panjang pula, hasil kerancakan ekonomi jual beli dan aktiviti yang berlaku dalam pasaran boleh menstabilkan kos pengeluaran.

 

“Ia juga memenuhi permintaan pelanggan serta tawaran jenis barangan akan lebih berdaya saing dan bervariasi,” kata Mohammad Firdaus.


 

prof
                                   Mohammad Firdaus Mohamad

 


Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemasaran, perniagaan, keusahawanan sosial, keusahawanan digital berkata, bagi pandangan dari sudut individu pula, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sudah melegakan ramai individu yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

 

Katanya, ia memberi nafas lega memulakan atau mencetuskan sesuatu sumber untuk dibelanjakan sama ada sebagai modal baru perniagaan, pembayaran hutang yang tertangguh atau pun disimpan semula kedalam bank yang lebih mudah untuk dicairkan.

 

“Perkara ini perlu diambil perhatian, apabila si pemohon yang mengeluarkan simpanan KWSP ini tidak mampu mengawal nafsu membeli sesuatu yang tidak perlu atau impian yang tertangguh selama ini, maka mereka akan lebih cenderung untuk menghabiskan duit kepada perkara yang sia-sia.

 

“Malah menteri kewangan turut menyatakan bahawa 55% pencarum KWSP yang mempunyai nilai terkumpul bawah RM10,000 dalam tabungan persaraan ini adalah daripada kaum bumiputera.

 

“Ini menunjukkan inisiatif pengeluaran sebelum ini untuk i-lestari, i-sinar, i-citra, sudah pasti sudah habis digunakan dan kini satu lagi permintaan atau desakan dari pemohon yang memerlukan,” katanya.

 

Menurutnya, indikator itu menunjukkan, selepas ini mungkin tidak akan ada lagi peluang untuk pencarum mengeluarkan simpanan KWSP kerana sudah kehabisan tabungan.

 

Katanya, kesan jangka pendek kepada individu pula bergantung kepada cara penggunaan wang sama ada cepat atau lambat sumber itu habis digunakan. 

 

“Adakah nilai wang itu akan berkembang hasil modal perniagaan atau habis terpesong kepada memenuhi kehendak dan pembelian barangan mengikut trend semasa.

KWSP

“Mengikut teori ‘Hawkins Stern Impulse Buying’ atau gelagat pembeli mengatakan, jika ada lebihan wang dalam tangan, pelanggan akan cenderung membeli sesuatu yang diimpikan selama ini berbanding sesuatu yang diperlukan untuk kesinambungan hidup. 

 

“Teori ini sangat dekat di hati kita dan juga gelagat serta cara pembelian kita, jika gagal mengawal keinginan, pasti akan menerbitkan penyesalan di kemudian hari,” katanya.

 

Mohammad Firdaus berkata, kesimpulannya, pengeluaran KWSP boleh merancakkan ekonomi dan aliran tunai dalam pasaran disebabkan oleh aktiviti perbelanjaan, pembelian dan juga pembayaran kredit tertangguh.

 

Artikel berkaitan: Pengeluaran KWSP terbaharu harus menjadi penamat - Penganalisis Ekonomi

 

Keluarkan hanya bila mendesak

Namun ujar beliau, apabila ia bersifat ‘one-off’ atau sementara mengikut gaya perbelanjaan pengguna yang mempunyai lebihan tunai dalam tangan maka ia akan menyebabkan kerugian selain dividen terkumpul mengikut jumlah sebenar juga terggangu. 

 

“Bagi sudut pandang individu pula, seperti bulan jatuh ke riba, dengan adanya surplus tunai menghampiri hari perayaan boleh mempengaruhi gaya perbelanjaan berlebihan jika tidak mampu mengawal nafsu.

 

“Nasihat saya kepada pemohon yang layak, fikirkan dahulu adakah ia perlu dikeluarkan atau terus disimpan untuk bekalan hari persaraan kelak.

 

“Jika benar-benar memerlukan bolehlah memohon untuk pengeluaran dan memastikan bahawa sumber itu digunakan sebaiknya,” tegasnya. - Dagangnews.com