Penggabungan Celcom-Digi di luar bidang kuasa MyCC | DagangNews Skip to main content

Penggabungan Celcom-Digi di luar bidang kuasa MyCC

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 2 Julai - Akta Persaingan 2010 terpakai kepada mana-mana aktiviti komersial di Malaysia, tetapi Akta yang sama secara jelasnya menetapkan bahawa ia tidak terpakai kepada aktiviti komersial di bawah empat sektor, termasuklah sektor telekomunikasi dan multimedia, menurut Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). 

 

Mengenai gesaan untuk MyCC campur tangan dalam cadangan penggabungan antara Digi Bhd dan Celcom Axiata Bhd, katanya aktiviti perkhidmatan telekomunikasi adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

MCMC katanya, mengawal selia penggabungan dalam sektor telekomunikasi dan perkara-perkara persaingan yang berkaitan melalui peruntukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

“Sehubungan itu, MyCC menyerahkan perkara berkaitan cadangan penggabungan tersebut kepada kebijaksanaan MCMC dan yakin bahawa penilaian dan penelitian yang komprehensif telah dilaksanakan oleh MCMC sebelum mencapai keputusannya,” menurut MyCC dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata langkah pindaan Akta Persaingan 2010 oleh MyCC yang akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan di Malaysia sedang berjalan dengan lancar.


 

 Iskandar Ismail
                 Iskandar Ismail

 

 

“Sekali lagi, perlu ditekankan bahawa rejim penggabungan ini akan mengecualikan, antara lain, sektor di bawah bidang kuasa MCMC. 

 

“Kami berharap keputusan oleh MyCC mengenai permohonan penggabungan pada masa depan akan menjadi rujukan dan panduan utama kepada semua pihak berkuasa lain untuk memastikan landskap dasar yang konsisten dan teguh yang akan mewujudkan kepastian dalam pasaran,” katanya. - DagangNews.com