Penggiat sektor pelancongan dikecualikan cukai - LHDN | DagangNews Skip to main content

Penggiat sektor pelancongan dikecualikan cukai - LHDN

KUALA LUMPUR 10 Jun - Industri terpilih menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), mendapat inisiatif untuk menangguhkan bayaran ansuran anggaran cukai secara automatik.

 

Penangguhan itu merangkumi pembayar cukai yang menjalankan aktiviti pelancongan seperti ejen pelancongan, pengendali hotel, syarikat penerbangan serta industri terpilih seperti panggung wayang dan spa.

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan membenarkan penangguhan pembayaran Anggaran Cukai Kena Bayar (CP204) dan Skim Ansuran (CP500) secara automatik bagi tempoh 1 April sehingga 31 Disember 2021.

 

"Inisiatif oleh kerajaan yang membenarkan penangguhan pembayaran cukai ini bertujuan merangsang semula sektor ekonomi dan peruncitan," katanya.

 

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang 2021.

 

Lima fokus itu adalah mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi.

 

LHDN dalam kenyataan itu berkata, terdapat sebanyak 22 senarai kod Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) aktiviti perniagaan yang layak mendapat penangguhan bayaran terbabit.

 

Justeru, katanya, satu pemberitahuan melalui e-mel rasmi daripada LHDN menggunakan domain e-mel @hasil.gov.my akan dikeluarkan kepada pembayar cukai yang layak berdasarkan maklumat Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) terkini yang diterima oleh pihak mereka.

 

"Pembayar cukai yang menjalankan aktiviti perniagaan berdasarkan kepada kod MSIC terbabit tetapi tidak menerima pemberitahuan boleh membuat rayuan dengan menulis emel ke cp204pemerkasa@hasil.gov.my atau cp500pemerkasa@hasil.gov.my," katanya.

 

LHDN turut menyediakan Soalan Lazim (FAQ) berkaitan CP204 dan CP500 mulai 1 April sehingga 31 Disember 2021 menerusi PEMERKASA yang boleh diperoleh menerusi http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/SOALAN_LAZIM_PEMERKASA_1.pdf atau
 http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/SOALAN_LAZIM_PEMERKASA_2.pdf.

 

Untuk sebarang pertanyaan atau maklum balas mengenai perkara ini boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Recovery Call Centre di talian 03-8751 1000. - DagangNews.com