Pengguna LPT2 ke Pantai Timur dijangka naik sehingga 45,000 kenderaan sehari | DagangNews Skip to main content

Pengguna LPT2 ke Pantai Timur dijangka naik sehingga 45,000 kenderaan sehari

Pasukan petugas LPT2 di lapangan sudah bersedia untuk pertambahan kenderaan sebaik sahaja pengumuman perjalanan antara negeri dibenarkan nanti. 

 

 

KUALA TERENGGANU 10 Okt - Lebuh Raya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. (LPT2) yang mengendalikan lebuh raya dua hala menghubungkan Jabor dan Kuala Terengganu di Pantai Timur (ECE2) menjangkakan peningkatan di antara 38,000 hingga 45,000 kenderaan setiap hari apabila perjalanan antara negeri dibenarkan semula selepas pengumuman oleh Perdana Menteri tidak lama lagi.

 

LPT2 menjangkakan ramai penduduk daerah ini akan merebut peluang yang sekian lama ditunggu-tunggu untuk melancong dan berhubung semula dengan keluarga dan sahabat handai di negeri-negeri lain.

 

Suhaimi Samat, Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2 berkata, pihaknya secara asasnya sentiasa bersedia untuk sebarang peningkatan jumlah kenderaan.

 

Beliau berkata, pasukan petugas LPT2 di lapangan sudah bersedia untuk pertambahan kenderaan sebaik sahaja pengumuman perjalanan antara negeri dibenarkan nanti. Semua 10 plaza tol di LPT2 bersedia menyambut pelanggan lebuh raya.

 

BACA : PM dijangka umum kebenaran rentas negeri jam 3 petang ini, kadar vaksinasi 90%

 

"Dengan 89.4% daripada penduduk dewasa kita telah divaksin sepenuhnya setakat 8 Oktober, kami menjangkakan pengumuman yang ditunggu-tunggu akan diputuskan segera.

 

''Walau bagaimanapun, kami tetap mengingatkan semua yang telah lengkap divaksin untuk terus mengikuti SOP MKN, termasuk menunjukkan status MySejahtera, memakai topeng muka berganda yang betul, mengekalkan penjarakan fizikal, dan menggunakan pembersih tangan, apabila berhenti untuk berehat di lima R&R dan empat Hentian Sebelah kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

lpt2
Pasukan petugas LPT2 sentiasa bersedia untuk sebarang peningkatan jumlah kenderaan.

 

 

Keselamatan dan keselesaan tetap menjadi keutamaan, maka kakitangan LPT2 yang terdiri daripada LPT2 Ronda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di seluruh laluan sepanjang 184 km sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

 

Kerjasama dengan Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya yang memberi ketenangan kepada pelanggan lebuh raya.

 

Semua kemudahan awam di R&R dan Hentian Sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang LPT2 untuk memastikan kebersihan dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.

 

 

lpt2
Orang ramai boleh berhenti untuk berehat di lima R&R dan empat Hentian Sebelah di sepanjang LPT2.

 


LPT2 adalah lebuh raya dua hala sepanjang 184 kilometer yang menghubungkan di antara Jabor dan Kuala Terengganu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Lebuh raya ini adalah sambungan daripada Pantai Timur yang sedia ada.

 

Diurus, diselenggara dan dikendalikan oleh LPT2 Sdn Bhd, sebuah syarikat konsesi lebuh raya, LPT2 adalah penghubung utama dan strategik yang menggalakkan pertumbuhan kawasan sekitarnya dan memudahkan perjalanan yang lebih cepat dan mudah antara Jabor dan Kuala Terengganu dan secara amnya, antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

 

Lebuh raya ini terdiri daripada 10 persimpangan bertingkat, menghubungkan lebuh raya ke pelbagai tempat di sepanjang laluan utamanya. Mereka ialah Cheneh, Cukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.- DagangNews.com