Skip to main content

Pengusaha bas ‘gulung tikar’ jika sekatan rentas negeri berlanjutan hingga November - TA Securities

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Sekiranya larangan untuk merentas negeri terus dikuatkuasakan sehingga November 2021, firma penyelidikan, TA Securities tidak menolak kemungkinan terdapat pengusaha bas yang terpaksa menghentikan perniagaan mereka. 

 

Berdasarkan garis masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan kerajaan, kebenaran untuk merentas negeri dijangka hanya bermula pada Fasa 4 pelaksanaan strategi tersebut, iaitu sekitar November tahun ini. 

 

“Walaupun terminal bas dibenarkan beroperasi, namun pengusaha bas ekspres terbeban akibat sekatan merentas negeri. 

 

“Dalam pada itu, penyewa (di terminal bas) juga menyaksikan trafik penumpang yang lemah. 

 

“Memandangkan situasi ini dijangka berterusan sehingga November 2021 apabila larangan merentas negeri ditamatkan semasa Fasa 4 PPN seperti mana dijangkakan kerajaan, kami percaya beberapa pengusaha bas dan penyewa akan menghentikan perniagaan mereka,” jelas penganalisis di TA Securities, Tan Kam Meng dalam satu nota kajian.

 

Dari segi perkembangan pemain industri perusahaan bas dan terminal, Kam Meng melihat Perak Transit Berhad masih mampu menangani impak sekatan merentas negeri dan jumlah trafik yang rendah memandangkan kumpulan juga menjana pendapatan daripada perniagaan pengiklanan dan promosi. 

 

Menurut pendedahan pihak pengurusan Perak Transit kepada firma penyelidikan tersebut, tiada pengusaha bas, penyewa, ejen pengiklanan mahupun penganjur acara memohon rebat penyewaan semasa Fasa 1 PPN kecuali faedah sewa secara percuma yang diberikan kepada penyewa di Terminal Kampar Putra semasa tempoh pengubahsuaian.

 

Seiring peralihan Perak untuk memasuki Fasa 2 PPN, Kam Meng percaya Perak Transit dapat meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian bagi ruang penyewaan kumpulan di Terminal Kampar Putra.

 

“Menurut pihak pengurusan, sebanyak 50% ruang runcit dalam terminal tersebut telah disewakan, tetapi tiada lagi penyewa yang telah memulakan perniagaan mereka di sana. 

 

“Sementara itu, bagi Terminal Meru Raya, operasi tidak terjejas semasa Fasa 1 PPN memandangkan terminal bas ekspres dianggap sebagai perkhidmatan perlu, sama seperti kebanyakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) di dalam terminal tersebut,” tambah Kam Meng.

 

TA Securities kekal positif terhadap prospek Perak Transit kerana kadar hasil dividen kumpulan yang baik serta perancangan projek terminal bas bersepadu baharu di Bidor dan Tronoh akan melonjakkan pertumbuhan perolehan kumpulan pada masa hadapan. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ saham Perak Transit dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM1.04 sesaham.

 

Setakat 3.16 petang, harga saham Perak Transit menokok 0.78% kepada RM0.645. - DagangNews.com