Penjana kurangkan impak pemberian pinjaman terjejas bank - Firma penyelidik | DagangNews Skip to main content

Penjana kurangkan impak pemberian pinjaman terjejas bank - Firma penyelidik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Pertumbuhan pemberian pinjaman oleh institusi-institusi perbankan di negara ini dijangka terus dipacu oleh pakej rangsangan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). 

 

Setelah moratorium pinjaman tamat pada September lalu, bulan Oktober menyaksikan pinjaman terjejas kasar (GIL) bank-bank meningkat kepada 1.43% daripada 1.38% pada bulan sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, pakej rangsangan Penjana telah mengurangkan impak berkenaan apabila memacu pertumbuhan pinjaman pembelian kediaman, kereta dan runcit yang kekal stabil pada bulan Oktober, kata MIDF Research. 

 

“Kami melihat kenaikan (GIL) ini menarik dan seperti dijangkakan memandangkan ia merupakan bulan pertama penamatan moratorium pinjaman. 

 

“Kami menjangkakan terdapat ketidaktentuan kualiti aset, tetapi ini dikurangkan oleh moratorium pinjaman bersasar dan bantuan pembayaran semula,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Pada bulan sama, permohonan pinjaman menguncup sebanyak -6.1% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Ini didorong oleh penurunan permohonan bagi modal bekerja dan pinjaman pembinaan yang masing-masing merosot -12.1% kepada RM16.1 bilion dan -13.3% kepada RM3.1 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, permohonan pinjaman berkaitan pakej Penjana berterusan melonjak dengan peningkatan +17.4% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM7.22 bilion.

 

“Kami percaya bank-bank akan terus berhati-hati. Bagaimanapun, pada dua bulan terakhir pertumbuhan pinjaman diluluskan menunjukkan bahawa langkah berhati-hati ini mungkin dilonggarkan sedikit. 

 

“Permohonan pinjaman yang diluluskan melonjak sebanyak 3.7% dan 0.8% masing-masing pada September dan Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu,” tambah MIDF. 

 

MIDF meningkatkan penarafan sektor itu kepada positif daripada 'neutral' sebelum ini. 

 

Senada itu, CGS-CIMB Research membuat penarafan ‘overweight’ sektor berkenaan dan pilihan teratasnya adalah Public Bank Research, Hong Leong Bank Berhad, RHB Bank Berhad dan AMMB Holdings Berhad.

 

“Kami tidak terlalu bimbang terhadap peningkatan nisbah GIL pada Oktober 2020 dan kemungkinan peruntukan kerugian  pinjaman (LLP) tinggi pada 4Q20 kerana pada pandangan kami, ini tidak akan menggagalkan pemulihan pertumbuhan keuntungan bersih bank-bank pada 2021,” kata CGS-CIMB dalam nota kajian berbeza. 



Penarafan dibuat oleh CGS-CIMB itu mengambil kira jangkaan lonjakan pertumbuhan perolehan bank-bank pada 2021, disokong ramalan pemulihan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Oleh itu, risiko penurunan potensi penarafan sektor itu adalah kemerosotan ekonomi yang berlarutan sehingga tahun depan, jelas CGS-CIMB.

 

Kata CGS-CIMB, sekiranya ini berlaku, bank-bank perlu menghadapi kemungkinan petumbuhan pinjaman yang perlahan dan meningkatkan lagi LLP.

 

“Kami mengambil kira jumlah pemotongan sebanyak 125 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) pada 2020 dan ramalan keuntungan bersih FY20 hingga FY22 bagi bank-bank Malaysia di bawah liputan kami dan menjangkakan tiada perubahan OPR pada 2021. 

 

“Risiko penurunan lain bagi bank adalah pemotongan lanjut OPR pada 2021.

 

“Berdasarkan ramalan kami, setiap 25 mata asas pemotongan OPR akan mengurangkan keuntungan bersih FY21 bank-bank sebanyak 2%,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com