Skip to main content

Penjana : Lebih 130,000 berjaya dapat pekerjaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 April - Seramai 132,118 individu berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan Penjana setakat 26 Mac lalu. 

 

Jumlah itu meningkat daripada 131,568 pada minggu sebelumnya, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

 

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit. 

 

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

“Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.perkeso.gov.my/186-penjana/803-program-insentif-pengambilan-pekerjadan-bantuan-latihan.html,” katanya ketika menyampaikan laporan Laksana ke-48 secara maya hari ini.

 

Dalam pada itu, Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran pula menyaksikan seramai 137,290 peserta telah diluluskan setakat 26 Mac, kata Tengku Zafrul. 

 

Jelasnya, jumlah itu juga meningkat daripada 137,075, yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

 

“Senarai kursus-kursus yang mendapat permintaan boleh dilihat melalui pautan Kementerian Kewangan. 

 

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan terutamanya golongan belia, anda semua dijemput menyertai kursus-kursus ini,” jelasnya lagi. 

 

Bagi Program Subsidi Upah (PSU), Tengku Zafrul mendedahkan permohonan yang diluluskan telah mencapai nilai RM12.841 bilion.  

 

Ujarnya, sehingga 26 Februari 2021, iaitu tarikh tutup PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat program itu di bawah Prihatin dan Penjana. 

 

PSU 2.0 pula menyaksikan sejumlah RM1.112 bilion telah disalurkan kepada 72,875 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 626,955 pekerja setakat 26 Mac lalu. - DagangNews.com