Skip to main content

Pensijilan ISO 9001:2015 angkat kualiti dagangan kenderaan terpakai myTukar

myTukar

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Platform dagangan kenderaan terpakai di Malaysia, myTukar Sdn. Bhd. (myTukar) tampil sebagai syarikat pasaran kenderaan terpakai pertama di negara ini yang berjaya menerima pensijilan ISO 9001:2015 untuk Sistem Pengurusan Kualiti.

 

Ketua Pengarah Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum berkata, pensijilan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan myTukar dalam memastikan dagangan kenderaan berteknologi inovatif itu berada di tahap terbaik dari segi kualiti, keyakinan dan ketelusan di semua peringkat.

 

“Kami komited dalam meluaskan perhubungan bersama pelanggan untuk menyediakan pengalaman jual beli kenderaan yang tiada tandingan dan kami didorong oleh misi kami untuk mendigital dan mentransformasikan kaedah tradisional penjualan kenderaan terpakai. 

 

myTukar

 

"Pembukaan lebih banyak cawangan di seluruh negara ini seiring dengan fokus kami terhadap kualiti dan kepercayaan demi mencapai kepuasan pelanggan. 

 

"Oleh itu Pensijilan ISO 9001:2015 ini memang tepat pada waktunya dalam memastikan myTukar mampu berpegang kepada komitmen sebagai platform jualan kenderaan atas talian yang diyakini, telus, efektif dan efisien untuk manfaat pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

ISO 9001:2015 ialah piawaian Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) antarabangsa yang dibangunkan dan dikeluarkan oleh Organisasi Piawaian Antarabangsa. 

 

Piawaian itu berdasarkan beberapa prinsip pengurusan kualiti, termasuk kaedah process-based yang telah digariskan, pemfokusan pelanggan yang kukuh, dan penglibatan kepimpinan pengurusan atasan syarikat. 

 

myTukar

 

Sijil ISO 9001:2015 myTukar dikeluarkan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. yang meliputi skop pensijilan bidang pemeriksaan kenderaan terpakai melalui platform lelongan atas talian, penilaian, transaksi dan perdagangan kenderaan terpakai di ibu pejabat myTukar dan cawangannya di Glenmarie. 

 

Sebagai badan yang telah mendapat pensijilan ISO 9001:2015, myTukar telah membuktikan prosedur dan amalan Kawalan Kualitinya di peringkat global dalam bidang berikut;

 

  • Membina kepatuhan tanggungjawab dan autoriti dengan jelas.
  • Memastikan kualiti dagangan kenderaan sebelum diserahkan kepada pelanggan.
  • Mengenalpasti ketidakpatuhan kualiti.
  • Bagi tindakan pembetulan, memastikan tindakan yang diambil dilaksanakan sebaiknya dan didokumenkan.
  • Mengekalkan prosedur untuk memastikan permintaan kualiti dipenuhi di semua peringkat organisasi, termasuk oleh pembekal.
  • Peningkatan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 myTukar secara berterusan. - DagangNews.com