Penstrukturan syarikat, Shell Malaysia kurangkan 2% tenaga kerja | DagangNews Skip to main content

Penstrukturan syarikat, Shell Malaysia kurangkan 2% tenaga kerja

Shell Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Meneruskan usaha penstrukturan semula syarikat, Shell Malaysia bakal mengurangkan sebanyak 2% tenaga kerja secara berperingkat.

 

Shell Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pengurangan tersebut akan dijalankan dalam tempoh dua tahun.

 

"Sebagai sebahagian daripada penyusunan semula Shell secara global, Shell Malaysia akan melaksanakan perubahan untuk memastikan syarikat berkembang maju melalui peralihan tenaga dan menjadi organisasi yang lebih sederhana.

 

"Penyusunan semula ini memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan untuk menjadi sebuah organisasi yang lebih efisien, kompetitif dan kolaboratif dalam tempoh mencabar hari ini," jelas Shell Malaysia.

 

Mengulas lanjut, pihak Shell Malaysia akan melihat pertumbuhan pekerjaan di bidang tertentu dalam perniagaan di seluruh negara serta pengurangan pekerjaan di bidang lain.

 

Kesan besar penstrukturan tersebut dirasai dalam perniagaan huluan iaitu dengan pengurangan antara 250 hingga 300 pekerja.

 

Bagaimanapun, ketika perniagaan lain di Malaysia akan berkembang, pengurangan keseluruhan tenaga kerja Shell Malaysia dijangkakan sekitar 2%.

 

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang sangat penting bagi perniagaan huluan  Kumpulan Shell.

 

"Eksplorasi & Pengeluaran Huluan terus menjadi perniagaan penting bagi Shell, perniagaan huluan di Malaysia telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada sembilan Unit Prestasi Teras Shell di seluruh dunia.

 

"Perubahan organisasi yang kita lakukan sangat penting bagi perniagaan untuk mengurangkan kerumitan sekali gus mendorong hubungan hujung ke hujung yang lebih erat bagi melancarkan aset dan usaha memberi tumpuan kepada penyampaian," tambah beliau.

 

Shell Malaysia memberitahu, sebagai usaha meningkatkan kecekapan dan kolaborasi syarikat, sebahagian besar kakitangan Upstream  akan dipindahkan ke pejabat utama di Miri, Sarawak.

 

Gabungan pejabat tersebut akan membolehkan cara kerja baharu dan lebih baik. - DagangNews.com