PENTINGNYA INDEKS DAN KLASIFIKASI SAHAM
SEJAJAR dengan kenaikan bilangan pelawat Dagangnews.com, saya turut ditanya apa itu indeks dan wujudkah indeks syariah? Sebenarnya indeks juga ada dijelaskan dalam ebuku MUDAHNYA NAK JADI JUTAWAN SAHAM SYARIAH yang mula dilancarkan portal atas talian ini sejak 2 September 2020.
Indeks Saham
Pun begitu khas untuk pembaca setia portal berita bisnes dalam dwi bahasa ini, saya jelaskannya secara ringkas. Indeks adalah indikator yang mengukur pergerakan harga-harga saham sepanjang waktu urus niaga. Oleh sebab setiap bursa ada pelbagai indeks, hanya satu sahaja dikira sebagai indeks rasmi sesebuah bursa.
Jadi, New York Stock Exchange (NYSE); indeksnya diwakili oleh Dow Jones Industrial Average (DJIA), London Stock Exchange (LSE); Financial Times Stock Exchange (FTSE), Tokyo Stock Exchange (TSE); Nikkei 225; dan Bursa Malaysia Securities (BM); FBM KLCI.
FBM dirujuk kepada gandingan antara FTSE (Financial Times & London Stock Exchange) dan Bursa Malaysia dengan singkatan FBM; manakala KLCI ialah Kuala Lumpur Composite Index. Jadi, ia adalah kolaborasi antara BM dan LSE. Indeks FBM KLCI ini merangkumi 30 firma senaraian awam Malaysia yang bermodal besar melebihi RM12 bilion daripada pelbagai sekor ekonomi. Semasa nama glamor lama bursa Malaysia iaitu Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), indeksnya adalah KLCI merangkumi 100 saham firma besar senaraian awam daripada pelbagai industri sejak 1986 sebagai tahun asas.
Zaman kegemilangan pasaran saham 90an, BSKL paling diingati apabila KLCI menjulang paras tertinggi 1,260 mata pada 1994. Ini dipanggil pasaran bullish agresif di mana ‘bull’ berlari terus berlari tidak mahu berhenti tanpa kepenatan; macam kita makan sedap tidak tahu berhenti; "Ambo kalu keno budu dok reti nok stop weh"! Akui Nik Kelate kepada rakan sekariahnya!
Namun BSKL juga ingin dilupai apabila menjunam ke paras terendah 262 mata pada 1999. Ini pula dipanggil pasaran bearis defensif apabila ‘bear’ berjalan dalam kepenatan asyik berhenti mahu tidur sahaja; macam kita di bulan puasa asyik hendak tidur sahaja; "Hang ni kalu bulan puasa sikit-sikit tidoq sikit-sikit tidoq", bebel Mamu Penang kepada rakan serumahnya!
Ramai tidak faham kenapa binatang seladang dan beruang dijadikan kiasan dan tidak pula harimau atau kucing? Oooop! “Sonang yo! Bia esey cerito ha…”, kata kawan pekat cakap nogori 9, Gomoncheh! Seladang dan beruang adalah analogi cara kedua-dua binatang buas ini menyerang mangsa. Beruang menanduk ke atas sebagai tanda arah harga sedang menaik ke atas, manakala beruang menyondol ke bawah sebagai tanda arah harga sedang menurun ke bawah! “Kenapa? Tak percayake?”, iklan kempen cukup popular di TV3 90an dahulu; jom kita ke Zoo Negara untuk menguji mitos seladang menanduk dan beruang menyondol mangsanya. “Ada berani?”……..
Indeks Syariah
Sebenarnya ramai pelabur runcit kurang tahu bahawa pada era BSKL, sudah ada indeks syariah iaitu Indeks RHB Syariah sejak Mei 1996; sebelum BSKL memperkenalkan Indeks KLSE Syariah sejak April 1999. Malaysia sebagai hub kewangan Islam global, NYSE telah memasukkan BM ke dalam Dow Jones Islamic Asia-Pacific Index, di ikuti oleh FTSE Bursa Malaysia Hijrah Index dan EMAS Shariah Index.
Malah, sejak 2009, BM memperkenalkan klasifikasi saham-saham syariah yang diperakui oleh Majlis Penasihat Syariah di bawah SC. Maknanya, BM ada syariah indeks untuk 698 firma patuh syariah yang dikenali sebagai Indeks FBM Emas Syariah. Namun, pelabur institusi dan runcit lebih gemar mengguna rujukan FBM KLCI kerana ia adalah indeks nasional bagi Malaysia sebagai kayu pengukur untuk menjejaki harga-harga saham keseluruhan 30 firma senarain terbesar termasuk saham-saham patuh syariah.
Jenis-Jenis Saham Senaraian
Untuk menjadi pelabur berilmu, jom kita fahami jenis-jenis saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia:
- Saham Spekulatif (Speculative Stock)
Jenis perniagaan syarikat saham spekulatif adalah berasaskan kepada komoditi, selain daripada minyak mentah dan emas, seperti perladangan dan besi waja. Bahan-bahan pertanian dan logam lazimnya terdedah kepada aktiviti spekulasi yang menyaksikan turun-naik harga yang agak signifikan, seperti yang sedang berlaku kepada minyak sawit dan getah, dan pernah berlaku ke atas bijih besi dan bijih timah Malaysia.
Namun COVID-19 sejak Mac 2020 memberi manfaat besar kepada kaunter berasaskan getah khasnya pengeluar sarung tangan getah. Contohnya, Top Glove sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia dengan kapasiti 70 bilion unit merekod hasil jualan tertinggi RM3.11 bilion dan untung bersih tertinggi RM1.33 bilion untuk kalendar kewangan berakhir sukuan Ogos 2020. Hasilnya harga sahamnya mencecah paras tertinggi RM26.18 pada Ogos 2020 dengan nilai pasaran sekitar RM66 bilion.
Justeru, Top Glove muncul firma senaraian awam kedua terbesar selepas Maybank RM84 bilion mengatasi Public Bank RM65 bilion tempat ketiga. Top Glove ditubuhkan pada 1991 mula menawarkan saham IPOnya Mac 2001 pada harga RM2 sahaja. Pada 20 September 2020 harga sahamnya ditutup RM8 selepas selesai terbitan bonus 2:1, iaitu harga rujukan RM8.71, satu pertiga daripada RM26.18 pada 9 September 2020!
2. Saham Berkitar (Cyclical Stock)
Jenis perniagaan syarikat saham berkitar adalah berasaskan kepada keperluan kediaman dan kenderaan yang bergantung kepada pembiayaan akhir daripada bank. Prestasi syarikat ini di dorong oleh kitaran ekonomi. Sekiranya ekonomi lembab seperti yang di alami Malaysia sejak Mac 2020, kita lihat jualan produk terjejas seperti sektor automobil dan hartanah. Senario ini berlaku kerana bank sebagai pembiaya akhir kepada pembeli berpotensi mengetatkan syarat dan terma ketat atau lebih di kenali sebagai “ketatan kredit” (credit squeeze).
Namun dengan kadar faedah OPR terendah pada kadar 1.75% sejak Jun 2020, sektor hartanah dan automobil kembali bernafas apabila menunjukkan kenaikan hasil jualan dan keuntungan kerana ia disifatkan sebagai pembiyaan murah untuk membeli kereta dan rumah. Jadi, kita lihat firma pemaju perumahan seperti Sime Darby Property dan pembuat kereta nasional seperti Proton mula mendapat manfaat dipacu oleh 1.75% OPR terendah sejak ia dikuatkuasakan pada 2004!
3. Saham Defensif (Defensive Stock)
Jenis perniagaan syarikat ini adalah berasaskan kepada keperluan asas manusia seperti makanan dan ubatan. Prestasi syarikat ini adalah mapan dan boleh bertahan dalam krisis ekonomi. Ia tidak dipengaruhi oleh kitaran ekonomi. Contoh: Pharmaniaga Berhad dan Nestle Berhad.
4. Saham Berkembang (Growth Stock)
Jenis perniagaan syarikat saham berkembang adalah berasaskan kepada aplikasi teknologi. Prestasi syarikat dipengaruhi oleh model perniagaan yang berasaskan kecanggihan teknologi terkini dan wawasan tenaga pakar yang masih muda tetapi berjiwa keusahawanan. Contoh: Solarvest Berhad dan Datasonic Berhad.
5. Saham Pendapatan (Income Stock)
Jenis perniagaan syarikat saham pendapatan adalah dirujuk kepada pelaburan saham amanah yang menjanjikan bayaran dividen tinggi. Ia menjadi punca pendapatan berkala kepada para pelabur hasil daripada pendapatan pelaburan dalam sektor hartanah yang tersenarai di BM iaitu REIT. Berbeza dengan saham amanah seperti ASN dan al Ittikal, REIT adalah firma awam yang pakar dalam pengurusan projek perumahan, komersil, hotel, hospital swasta dan pusat beli-belah di Malaysia seperti Sunway REIT, al Salam REIT, juga sektor perladangan seperti a al Hektar REIT, yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Profil Saham Blue Chip
Jenis perniagaan syarikat ini tidak tertakluk kepada industri khusus. Saham blue-chip atau saham mewah ini lebih menjurus kepada syarikat senaraian yang sudah lama tertubuh dengan rekod kewangan yang kukuh, pendapatan dan keuntungan yang terus meningkat. Justeru, pergerakan harga saham-saham ini amat stabil dan pasti sukar dimanupulasi oleh para spekulator. Ia ditakrifkan sebagai “mewah” bukan kerana harga yang mahal atau tinggi tetapi lebih kepada penguasaan dalam industri tertentu kerana sistem kuota, pelesenan dan dasar kerajaan.
Contoh-contoh saham-saham blue-chip BSKL era 90an dengan kuasa politik dominan UMNO adalah seperti perbankan (MAYBANK), komunikasi (CELCOM), penerbangan (MAS), infrastruktur (MRCB), percetakam (NST), lebuhraya (PLUS), penyiaran (TV3) dan utiliti (TNB). Malah, saham-saham blue-chip turut diwarnai oleh syarikat perjudian atau permainan (gambling and gaming) yang jelas bertentangan dengan prinsip syariah seperti Genting dan Sports Toto. Lazimnya, atas dasar insentif cukai, syarikat-syarikat ini kerap menjalankan tanggungjawab korporat sosial melalui sumbangan berkala misi kemanusiaan, prihatin komuniti dan tajaan sukan. Perlu disebut, sejak komponen FBM KLCI bersandarkan kepada nilai modal pasaran, saham-saham yang mewaikli 30 firma terbesar di Bursa Malaysia tidak semestinya tergolong sebagai saham-saham blue-chip!
Jika ditanya kenapa diguna pakai blue-chip? Mengikut kaki kasino (bukan saya), ia melambangkan sesuatu yang bernilai tinggi yang diambil daripada permainan poker yang melambangkan ‘barang mahal’. Jadi, saham-saham mewah ini yang berharga tinggi sentiasa diburu oleh pelabur institusi sebab ia mencerminkan nilai tingginya. Justeru, saham kategori ini sentiasa mencatat kenaikan hasil dan keuntungan; mampu membayar dividen secara berka;a. Malah, dividen tunai bukan sahaja sentiasa dibayar tetapi dibayar semakin tinggi dari tahun ke tahun bergantung kepada suasana eknomi. Dalam kes tertentu, firma ini mampu membayar dividen khas kepada pelabur setianya.
Komponen 30 Firma FBM KLCI
Seperti disebut dalam Siri 12 minggu lepas, kaunter 30 FBM KLCI mempunyai modal nilai pasaran melebihi RM12 bilion. Daripada 30, 21 adalah patuh syariah. Namun bank terbesar di Malaysia, Maybank adalah firma senaraian terbesar berstatus perbankan konvensional dengan nilai pasaran sekitar RM84 bilion; justeru ia adalah firma senaraian bukan patuh syariah.
Perlu disebut kaunter saham-saham mewah bukan bererti harganya mahal. Dalam komponen 30 FBM KLCI, hanya Nestle sahaja berharga lebih daripada RM100 iaitu RM139.30, manakala kedua mahal pada harga RM32.50 adalah milik F&N. Kaunter-kaunter lain berharga bawah RM10 malah harga purata RM5 sahaja. Contoh; Maybank sebagai firma awam terbesar di Malaysia sahamnya sehingga 20 September 2020 hanya berharga RM7.19 sahaja, manakala harga pasaran Sime Darby Berhad pada harga RM2.30 adalah paling murah dikalangan komponen 30 FBM KLCI!
Next week we are ready to explore on CPO futures trading in conjunction with the re-launching of MGS5 futures as Bursa Malaysia Derivatives may testify it!
Penulis adalah mantan profesor pelaburan di UiTM sehingga bersara wajib 2016; felo Fulbright, Washington DC sejak Julai 2011 dan felo penyelidik utama di Lamka Advisory sejak Jun 2020