Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 16 July 2022

Pentingnya penyatuan Melayu Melalui Pendidikan

 

 

PENYATUAN Bangsa Melayu menyeluruh memerlukan transformasi berpaksikan budaya, warisan, dan kekuatan jati diri perlu untuk mencapai keharmonian bangsa Melayu.

 

Pada masa yang sama, kajian yang mendalam tentang sistem pendidikan yang melahirkan pemimpin hari ini dan  pembangunan sosio-ekonomi bangsa Melayu wajar dilakukan ke akar umbi permasalahan yang dihadapi.

 

Tidak dapat dinafikan, budaya Melayu memberi kekuatan dan perpaduan serantau.  Melalui bahasa dan budayalah kita saling mengenali persamaan yang membawa pada perpaduan.

 

Justeru, Bahasa dan Budaya Melayu ini  tidak boleh dibiarkan mereput dan hilang ditelan zaman. Ia perlu segar menonjolkan keunikan berpaksikan Dunia Alam Melayu. 

 

Hikayat lama dapat memainkan peranan memperkenalkan dan memperkasa jati diri melalui bahasa dan budaya yang mengejar kemenangan dan kekuatan.   Ini adalah kerana kekuatan tradisi lama bermula dengan pengenalan.

 

Dari pengenalan timbul kehebatan. Dari kehebatan datang keunggulan. Kesenian, lukisan, penulisan, seni tari, kajian, pemuliharaan istiadat dan adat, kitab dan adab boleh memberi pencerahan  kekuatan sebenar Dunia Melayu.

 

Lima strategi dapat mendekatkan kita pada objektif penyatuan bangsa:

  1. Pendidikan Kebangsaan Mengukir Keharmonian

  1. Ekonomi Berteraskan Kekuatan Bangsa

  1. Bahasa Kebanggaan Negara

  1. Memperkasa Seni Budaya

  1. Kepimpinan Terulung Keperluan Politik

 

STRATEGI PENYATUAN BANGSA
 

1. Pendidikan Kebangsaan Mengukir Keharmonian

Persoalan yang perlu ditanya, adakah sistem pendidikan kita hari ini berjaya melahirkan pemimpin yang kita inginkan? Atau pendidikan yang menzahirkan pemimpin kita hari ini hasil pendidikan orientasi penjajah?

 

Sistem pendidikan merupakan batu asas terpenting membangunkan masyarakat dan negara ke arah muhibah yang dicita-citakan. Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk di mana setiap dasar yang dilaksanakan perlu selari dengan keperluan masyarakat.

 

Dasar pendidikan yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan untuk memberi pelajaran di sekolah semata-mata tetapi sangat penting untuk perpaduan bangsa. Namun di sini kita nyata GAGAL. Tiada keharmonian sebenar dan kukuh antara masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

 

Sehingga kini, masyarakat Malaysia masih terpisah melalui sistem persekolahan, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.  Malah, bukan sahaja dari segi pendidikan, masyarakat juga telah terpisah melalui kawasan tempat tinggal mengikut bangsa.

 

Warisan budaya dan nilai-nilai teras  juga perlu disemai pada generasi muda. Bahasa dan budaya mesti diperkasa, dan diberikan kepentingan setaraf akademik. Kita mesti menyelami  impak sistem pendidikan yang terbahagi pada kebangsaan, antarabangsa dan vernakular pada keharmonian negara. Bahasa Melayu mestilah menjadi teras penyatuan.

 

 Pada masa yang sama, mempromosikan Mandarin, Tamil, Arab dan lain-lain bahasa dunia sebagai bahasa pilihan ‘ketiga’ di sekolah kebangsaan adalah langkah bijak kerana ini mempromosi  kecemerlangan ‘budaya poliglot’ di kalangan anak Malaysia.

 

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 telah menggariskan hala tuju untuk perpaduan menerusi identiti Malaysia berteraskan Budaya Orang Asal dan Pribumi. Namun ini tidak direalisasikan.

 

2. Ekonomi Berteraskan Kekuatan Bangsa
 

 

ninot

Jika kita mengukur status Bangsa Melayu sejak tahun 1500-an dari empat penjuru, iaitu Bancian Penduduk mengikut kaum, Kekuatan Politik, Ekonomi dan Kebudayaan (Identiti) kita melihat penurunan dramatik dan nyata terhadap status Bangsa Melayu  dalam Negara.

 

Keempat-empat semuanya saling berkaitan, dan memberi impak antara satu sama lain untuk membina BANGSA yang kukuh. Sejak 600 tahun dahulu, kita membenarkan pihak luar menguasai  Kekuatan Politik, Ekonomi dan Kebudayaan (Identiti) serta gagal melindungi NUSA & BANGSA.

 

Bangsa Melayu mesti mengukuhkan bidang yang menjadi kekuatan semulajadi, berpaksi kreativiti dan naluri semulajadi seperti:

  1. Pelancongan
  2. Kebudayaan dan Kesenian
  3. Seni bina
  4. Kejuruteraan
  5. Seni Grafik dan Reka Bentuk
  6. Penerbitan dan penulisan
  7. Agrikultur dan perladangan
  8. Animasi
  9. Perfileman
  10. Media

 

3. Bahasa Kebanggaan Negara

Bahasa Melayu telah lama bertapak di bumi Alam Melayu ini dan tertulis dalam lebih 10,000 manuskrip yang disimpan dengan baik dalam 150 Muzium dan Perpustakaan tersohor di Kuala Lumpur, Jakarta, Oxford, London dan Leiden di  60 negara serata dunia. Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan pantun diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

 

Ketinggian bahasa dicerminkan melalui pantun, gurindam, syair dan Hikayat lama seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman dan Panji Semirang. Ilmu lama tersimpan dalam manuskrip seperti Undang Kanun Melaka, Kitab Bedil dan pelbagai kitab lama.

 

Kitab Manuskrip Melayu merupakan warisan yang memperkasa penggunaan Bahasa Melayu. Melalui kitab-kitab ini legasi pengetahuan ini dipanjangkan ke generasi seterusnya dan terpelihara. Yang pasti, perlu ada keazaman untuk memastikan kelestarian Dunia Melayu terjamin dan kekal asli. Kepentingan aksara Jawi boleh ditekankan supaya kita dapat membuka kunci beribu-ribu manuskrip Melayu di Malaysia dan di muzium dan perpustakaan terkenal di lebih daripada 60 buah negara di seluruh dunia.

 

Untuk memimpin Malaysia di persada dunia dalam pengantarabangsaan Bahasa Melayu, perlu ada kerjasama dan persefahaman serantau untuk kebaikan bersama. Formula kejayaan memperkasa pantun di tahap UNESCO pada tahun 2020 bersama Indonesia boleh digunakan dalam isu memperkasa bahasa  Melayu  di persada antarabangsa. Kerjasama ahli akademik, kementerian,  jabatan dan agensi, serta sasterawan dan budayawan yang bertanggungjawab dalam hal budaya hingga ke peringkat tertinggi adalah penting.

 

irsyad

 

4. Memperkasakan Seni Budaya

Sebuah institusi seperti Smithsonian Institute sebagai pusat Keberadaan Budaya Bangsa Melayu merangkumi  pusat penyelidikan, muzium, galeri dan ‘kampung Budaya’ terbesar di dunia khusus untuk memelihara dan mempromosikan sejarah dan warisan Alam Melayu, termasuk Pusat Penyelidikan Manuskrip Melayu boleh didirikan sebagai tarikan utama pelancongan dan penyelidikan dunia.

 

Sebenarnya, terdapat defisit budaya yang ujud dan ini tidak dapat diperbaiki dengan bergantung kepada pendidikan atau ‘sporadic efforts’.  Ia hanya boleh diperbaiki melalui transformasi budaya seperti yang ditunjukkan pada tahun 1848 di seluruh Eropah, pemulihan Meiji Jepun, kekuatan ekonomi Han Han Korea 60 tahun yang lalu di Korea dan lonjakan ekonomi pasca Tienanmen China.

 

Defisit budaya ini perlu diperbaiki oleh generasi pemimpin yang memperkasa  nilai teras yang dapat membina komuniti yang harmoni dan budaya yang moden, tanpa mengorbankan identiti.

 

Visi kemakmuran bersama 2030 boleh menjadi rangka kerja yang dapat dipertingkatkan untuk mencapai matlamat ini. Melalui ini, kita akan membawa tujuan dan keharmonian kembali ke dalam kehidupan kita terutama anak-anak kita, yang telah dilucutkan peluang untuk mengubah nilai-nilai semula jadi mereka menjadi budaya yang terkenal dan baik. Kita mesti berpindah dari kebencian dan kebencian yang tidak dapat dielakkan dan terbakar dalam politik. Merangkul budaya yang menekankan pembinaan negara melalui politik kebersamaan

 

5. Kepimpinan Terulung Keperluan Politik

Seorang pemimpin dalam pandangan Islam hakikatnya mestilah BERKHIDMAT pada rakyat yang dipimpinnya dengan penuh rasa tanggungjawab, cinta dan keikhlasan.

 

 

parlimen

 

Bagaimana kriteria pemimpin yang ideal dalam Islam? Berikut penjelasannya berserta dalil naqlinya.
 

Menjadi pemimpin mungkin impian ramai. Namun, tidak semua orang layak dan akan menjadi pemimpin jika tidak memenuhi kriteria yang ideal.

 

Adapun dalil naqli mengenai tiap orang adalah pemimpin disebutkan dalam hadith berikut:

Dari Abdullah bin Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dimintai dipertanggungjawabkan atas yang dipimpin, penguasa yang memimpin rakyat banyak dia akan dimintai dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya, setiap kepala keluarga adalah pemimpin anggota keluarganya dan dia dimintai dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya, dan isteri pemimpin terhadap keluarga rumah suaminya dan juga anak-anaknya, dan dia akan dimintai dipertanggungjawabkan terhadap mereka, dan budak seseorang juga pemimpin terhadap harta tuannya dan akan dimintai dipertanggungjawabkan terhadapnya, ketahuilah, setiap kalian adalah bertanggungjawab atas yang dipimpinnya." (HR. Bukhari) [No. 7138 Fathul Bari ] Shahih.

 

Jika kita benar-benar yakin pada ciri-ciri kepimpinan Islam, dan memastikan kita membina pemimpin masa depan melalui sistem pendidikan yang membina generasi baru yang terbilang, kita tidak akan menghadapi masalah hari ini.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

 

 #alifeinspiredbyhikayat

 #lipurlaraalammelayu

 #lipurlaranusantara

 #walinongsari

Portfolio Tags