Skip to main content

Penulisan RINTAS: Kekal relevan di era IR4.0

Contoh kaedah RINTAS yang mula diperkenalkan di Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1998 dan kini kursus ini adalah di bawah Program Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA118), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM.

 

 

Oleh KHALIJAH MOHD NOR dan SITI ROSNITA SAKARJI

 

Apabila menyebut tentang penulisan RINTAS, tahukah anda tentang kewujudan tulisan RINTAS ini?  RINTAS bermaksud satu kaedah penulisan rumi yang terdiri daripada gabungan perkataan-perkataan “ringkas” dan “pantas” yang membolehkan penulisnya menulis dengan pantas.

 

Secara umumnya, rata-rata rakyat Malaysia memang tahu meringkaskan perkataan bahasa Melayu ke tulisan kependekan di media sosial seperti WhatsApp, Twitter, Instagram, Facebook mahupun Telegram. 

 

Dalam keghairahan ledakan ICT kini, bahasa rojak ataupun percampuran bahasa pasti berlaku. Ini kerana penutur ingin menonjolkan kehebatan menguasai sesuatu bahasa. 

 

Ini menyebabkan berleluasanya pencemaran bahasa menerusi penggunaan perkataan ringkas ketika berkomunikasi.

 

Tetapi, adakah anda tahu tentang kewujudan kaedah yang betul dalam meringkaskan perkataan Bahasa Melayu itu?

 

Sebelum kaedah RINTAS ini diperkenalkan, kaedah Trengkas Pitman  (Pitman Shorhand) telah lama digunakan di Malaysia dan ia telah dibangunkan oleh Sir Isaac Pitman pada 1837.

 

Sistem ini bersifat fonetik di mana simbol-simbolnya tidak mewakili huruf, tetapi bergantung pada bunyi dan perkataan yang ditulis. Kaedah trengkas biasanya digunakan oleh jurutrengkas, setiausaha pejabat dan wartawan dan ia telah dimasukkan di dalam silibus di sekolah-sekolah vokasional, politeknik dan juga di Institut Teknologi MARA (ITM).

 

Dengan peredaran zaman, kaedah penulisan RINTAS merupakan silibus baru yang menggantikan Trengkas dan ia mula diperkenalkan di Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1998 kepada para pelajar jurusan Diploma Kesetiausahaan Eksekutif di bawah Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat dan kursus ini masih ditawarkan sehingga kini setelah ITM dinaik taraf ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999. 

 

 

rintas

 

 

Kini kursus ini adalah di bawah Program Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA118), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.

 

Setelah hampir 23 tahun kursus RINTAS ini diterapkan dan diajar kepada para pelajar UiTM khususnya, para pelajar mempunyai kemahiran penulisan RINTAS dan menggunakan kemahiran ini di dunia pekerjaan mereka. 

 

Peratus pelajar yang tamat pengajian program Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dari tahun 2015 hingga tahun 2019 adalah dalam lingkungan 82.3% (statistik rekod kebolehpasaran program BA118). 

 

Ini menunjukkan kebolehpasaran graduan sekaligus menunjukkan kursus ini masih relevan dan mendapat tempat di hati pelajar lepasan SPM.

 

Selain itu, kursus ini juga telah diperkenalkan di sektor awam dan swasta seperti mereka yang memegang jawatan Pegawai Eksekutif, Setiausaha Pejabat, Pegawai Khas, Wartawan, Kakitangan Perkeranian, Pembantu Tadbir dan sebagainya. 

 

Majikan menghantar pekerja berkursus dari semasa ke semasa dalam mempelajari kemahiran ini sekaligus dapat meningkatkan kecekapan melakukan tugasan menaip dokumentasi di pejabat.

 

 

rintas

 

 

Beberapa kebaikan dalam penulisan RINTAS ini adalah ia membolehkan seseorang individu itu mengambil nota ringkas seperti pesanan telefon, minit mesyuarat, arahan-arahan yang diberikan dan juga catatan yang diperlukan. 

 

Penulisan RINTAS ini membolehkan majikan memberi tugasan kepada pekerja melalui tulisan-tulisan ringkas tanpa membuang masa menulis draf yang lengkap. 

 

Ini membantu penghasilan dokumen yang lebih cepat dan pantas.  Selain itu,  kebaikan penulisan RINTAS ini membantu menjadikan satu kemahiran peribadi terutama bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam pengambilan nota semasa kuliah.  Ia mempercepatkan penulisan tanpa perlu menulis tulisan yang penuh.

 

Kesimpulannya, kemahiran RINTAS ini amat penting untuk mengambil catatan dalam penghasilan dokumen yang baik dan jelas. 

 

Kemahiran ini amat istimewa dan menjadi ‘soft skill’ yang berguna buat graduan program ini sebaik menamatkan pengajian dan memasuki alam kerjaya.

 

 

rintas

 

 

Bagi menguasai kemahiran ini, seseorang perlu selalu menulis dokumen dengan menggunakan perkataan-perkataan RINTAS yang dipelajari. 

 

Bak kata pepatah bahasa Inggeris “Practice makes perfect”. Apabila seseorang itu mempraktikkan dan menggunakan kemahiran ini, ilmu itu akan kekal di ingatan dan menjadikannya satu kelebihan kepada individu itu. 

 

Oleh itu, mempelajari kemahiran RINTAS tiada ruginya kerana penulisan ini sangat berguna dan sudah pastinya anda boleh mempraktikkannya di ruangan media sosial masing-masing. – DagangNews.com

 

KHALIJAH MOHD NOR dan SITI ROSNITA SAKARJI adalah pensyarah kanan UiTM Melaka