Penurunan mendadak harga saham TFP dipersoal Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Penurunan mendadak harga saham TFP dipersoal Bursa Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Bursa Malaysia meminta TFP Solutions Berhad untuk menjelaskan penurunan mendadak dalam harga sahamnya, baru-baru ini.

 

Sehubungan itu, Bursa Malaysia menasihati para pelabur untuk meneliti jawapan balas daripada TFP dalam membuat keputusan pelaburan.  

 

TFP dikehendaki untuk menjawab empat persoalan daripada Bursa Malaysia berhubung saham mereka termasuk adakah terdapat perkembangan korporat yang berkaitan dengan perniagaan dan urusan kumpulan yang belum pernah diumumkan sebelum ini, mungkin mempengaruhi aktiviti perdagangan termasuk yang berada pada tahap perundingan / perbincangan. 

 

Sekiranya ya, sila berikan perincian termasuk status perkembangan syarikat untuk membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang tepat, jelas Bursa Malaysia.

 

Dalam masa sama, Bursa Malaysia turut mempersoalkan sekiranya terdapat khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan urusan kumpulan yang mungkin menyumbang kepada aktiviti perdagangan dan dalam hal ini, TFP diminta untuk mematuhi Perenggan 9.09 dan 9.10 dari Syarat Penyenaraian Bursa Securities.

 

TFP turut diminta menjelaskan sekiranya kumpulan mengetahui kemungkinan penjelasan lain yang mempengaruhi aktiviti perdagangan.

 

Selain itu, Bursa Malaysia mempersoalkan TFP sekiranya kumpulan telah mematuhi Syarat Penyenaraian Bursa Securities, khususnya Perenggan 9.03 mengenai kewajipan pendedahan segera. 

 

“Berdasarkan perkara di atas dan agar para pelabur dapat membuat keputusan pelaburan yang tepat, anda diminta untuk memberi jawapan balas, setelah membuat pertanyaan kepada pengarah, pemegang saham utama dan pihak lain yang berkaitan, kepada pertanyaan berikut dengan segera untuk diumumkan mengikut Perenggan 9.11 Syarat Penyenaraian Pasaran Utama,” tambah Bursa Malaysia. 

 

Setakat laporan ditulis, harga saham kumpulan menokok 0.5 sen kepada 11.5 sen. - DagangNews.com