Penyelidik Malaysia menang besar di Seoul International Invention Fair (SIFF 2021) | DagangNews Skip to main content

Penyelidik Malaysia menang besar di Seoul International Invention Fair (SIFF 2021)


KUALA LUMPUR 11 Dis – Penyelidik Malaysia yang mengambil bahagian dalam Seoul International Invention Fair (SIIF 2021) berjaya membawa pulang pelbagai anugerah dan pingat semasa Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah yang disiarkan secara dalam talian pada 4 Disember lalu.

 

Pertandingan yang berlangsung daripada 1- 4 Disember 2021 di Korea Selatan itu telah dianjurkan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA) merupakan pameran dan pertandingan reka cipta tahunan yang diiktiraf ketiga terbesar di dunia.

 

Pihak penganjur telah berjaya menghimpunkan kira-kira 465 produk reka cipta daripada lebih 24 negara.

 

Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) merupakan satu-satunya organisasi eksklusif yang dilantik oleh KIPA membawa penyertaan dari Malaysia ke SIIF.

 

Pelantikan ini mengambi kira peranan MARS yang merupakan badan bukan kerajaan mewakili para penyelidik daripada pelbagai institusi penyelidikan di Malaysia sejak daripada penubuhannya hampir 30 tahun yang lalu.

mars

Presiden MARS, Dr. Muhd Noor Muhd Yunus berkata, dengan mengambil kira kriteria utama pertandingan seperti tahap reka bentuk teknologi, kebolehpasaran produk dan nilai pasaran, pasukan Malaysia telah berjaya membawa pulang 2 Hadiah Utama, 1 Best inventor, 24 pingat emas, 27 pingat perak dan 37 pingat gangsa.

 

Dua Hadiah Utama dimenangi oleh penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia dengan tajuk inovasi A Geoinformation-Based Search And Rescue System dan MARA Japan Industrial Institute dengan tajuk Controlling Bay Barrier Parking Using Android Phone Via Bluetooth.

 

Anugerah Best Inventor dimenangi oleh UCSI University dengan inovasinya bertajuk iConMix: An Automated Intelligent Mixing System for Optimal Concrete Mixing Powered by Machine Learning and Complex Fuzzy Logic”.


 

Presiden MARS, Dr. Muhd Noor Muhd Yunus
                   Dr. Muhd Noor Muhd Yunus

 

 

Setiausaha MARS, Hasfazilah Hassan berkata, pada tahun ini penyertaan Malaysia meningkat dua kali ganda daripada tahun yang lalu menjadikan jumlah penyertaan daripada Malaysia kali ini sebanyak 113 inovasi daripada 23 institusi pengajian tinggi dan juga institusi penyelidikan.

 

Ini menunjukkan pandemik COVID-19 bukanlah penghalang kepada para penyelidik negara untuk terus produktif dan berinovatif melakukan pelbagai penyelidikan dan kajian.

 

‘’Kejayaan penyelidik kita di persada antarabangsa seperti ini, merupakan suatu penghargaan dan penghormatan yang besar terhadap hasil usaha penyelidik-penyelidik dari Malaysia,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pada kali ini, penyertaan terdiri daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia, (USM) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Malaysian Agricultural Research Agency (MARDI), Agensi Nuklear Malaysia, Green Cities And Construction Reseach Group, MARA Japan Industrial Institute, Multimedia University, University College Sedaya International (UCSI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM Perlis, UiTM Shah Alam, Universiti Pertahanan National Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, UTM AMTEC Skudai dan University College TATI Terengganu. – DagangNews.com