Penyenaraian Top Glove di Hong Kong mungkin tangguh sebulan - Firma | DagangNews Skip to main content

Penyenaraian Top Glove di Hong Kong mungkin tangguh sebulan - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - MIDF Research menjangkakan penyenaraian kedua Top Glove di Hong Kong Stock Exchange (HKEX) akan tertangguh kira-kira sebulan berbanding cadangan asalnya, sekitar Mei atau Jun tahun ini. 

 

Ini susulan daripada langkah kumpulan untuk menyemak semula pertimbangan terbitan saham baharu kepada 793.5 juta dalam pilihan keseluruhan 103.5 juta saham baharu.

 

Secara dasarnya, Top Glove merancang untuk menerbitkan 1.5 bilion saham baharu. Bagaimanapun, saiz terbitan saham ini berkurangan sebanyak 46.9%. 

 

Dalam masa sama, dana yang akan dikumpul juga berkurangan kepada RM4.2 bilion berbanding RM7.8 bilion sebelum ini. 

 

Top Glove bercadang untuk menggunakan 60% atau RM2.5 bilion daripada langkah itu untuk mengembangkan sistem pengeluaran dan pembangunan pembuatan berasaskan data.

 

"Tetapi, kami percaya Top Glove mampu membiayai keperluan pengembangan ini dengan mengambil kira aliran tunai yang kukuh dan tunai bersihnya kira-kira RM4 bilion," jelas penganalisisnya, Ng Bei Shan dalam nota kajian hari ini. 

 

Cadangan penyenaraian ini diumumkan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai pada September 2020.

 

Pada 26 Februari lalu, kumpulan telah mengemukakan permohonan kepada HKEX bagi penyenaraian kedua yang akan menyaksikan Top Glove menerbitkan 1.495 bilion saham baharu. 

 

Terbitan saham ini menyamai 18.65% modal saham sedia ada sebanyak 8.2 bilion saham atau 15.72% daripada asas saham diperbesarkan, sebanyak 9.51 bilion saham.

 

Bagaimanapun, pada Mac lalu, ketika sidang akhbar bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2021, Pengarah Eksekutif Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, cadangan penyenaraian pada Mei atau Jun yang dijangka mengumpul sehingga RM7.7 bilion itu bagaimanapun bergantung kepada faktor seperti proses pemeriksaan HKEX, kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan situasi pasaran.

 

MIDF Research melihat langkah Top Glove untuk menyemak semula cadangan penyenaraian itu adalah positif memandangkan ia akan mengurangkan kecairan pemegang saham sedia ada.

 

Menurut Bei Shan, sebagai perbandingan, kesan kecairan ini kepada pendapatan sesaham (EPS) adalah dianggarkan pada 9% berbanding 15% sebelum ini. 

 

"Tetapi, Top Glove masih mampu meningkatkan profail korporatnya di China dan pasaran antarabangsa menerusi penyenaraian ini," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengekalkan harga sasaran (TP) Top Glove tidak berubah pada RM8.29 dan mengekalkan saranan 'Beli' bagi saham pengeluar sarung tangan getah ini. - DagangNews.com