Perak Transit mampu ubah kawasan terminal sebagai hab logistik - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Perak Transit mampu ubah kawasan terminal sebagai hab logistik - AmInvestment

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kelonggaran sekatan pergerakan terutama dengan kebenaran rentas negeri seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini memberi kelebihan kepada syarikat pengangkutan, antaranya Perak Transit Bhd.

 

Ini membolehkan AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Perak Transit  dengan nilai saksama pada RM1.08.

 

Setakat 12.11 tengah hari ini, saham Perak Transit menokok 1 sen atau 1.41% kepada 72 sen dengan 4.46 juta saham diniagakan. 

 

Firma itu percaya, syarikat pengangkutan ini berada di landasan yang tepat untuk menjadikan kawasan terbiar di terminal sedia ada kepada hab logistik.

 

"Syarikat telah memperoleh 2 penyewa terdiri daripada perkhidmatan kurier logistik pihak ketiga dan penghantaran superapp syarikat pemula, memenuhi kira-kira 10 hingga 30% kawasan bagi kedua-dua Terminal Meru Raya dan Kampar Putra Sentral.

 

"Langkah ini boleh membantu meningkatkan penggunaan kawasan terbiar di sekitar terminal, termasuk jumlah pengunjung dan juga pendapatan kepada operasi terminal pengangkutan awam bersepadu (IPTT)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

AmInvestment juga menjangkakan penyewaan di Terminal Kampar Putra akan meningkat setelah mereka diberi pengecualian sewa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Dalam pada itu, bagi kontrak pengurusan terminal, firma itu percaya Perak Transit akan terus berbincang dengan terminal bas pihak ketiga untuk memperoleh sebarang projek atau kontrak baharu yang berpotensi walaupun perbincangan itu agak perlahan ketika tempoh awal Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Bagi kontrak sedia ada, kami menjangkakan Terminal Bas Shahab Perdana akan memulakan operasi menjelang April 2022 manakala hasil daripada Terminal Sentral Kuantan pula adalah stabil memandangkan yuran pengurusan terminal dibayar secara tahunan mengikut kontrak," jelasnya. - DagangNews.com