Peralihan ke tenaga boleh diperbaharui perlu hala tuju lebih jelas - MOGSC | DagangNews Skip to main content

Peralihan ke tenaga boleh diperbaharui perlu hala tuju lebih jelas - MOGSC

Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim

 

KUALA LUMPUR 6 April  -  Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) menyeru kepada hala tuju yang lebih jelas dalam proses peralihan tenaga negara untuk membuka jalan bagi perniagaan yang akan menyokong langkah tersebut.

 

Presiden MOGSC, Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim menekankan keperluan Malaysia dalam memikirkan semula strategi peralihan tenaganya.

 

“Peralihan tenaga perlu berlaku tetapi kita perlu memahami apa yang dimiliki oleh Malaysia.

 

“Peralihan ke tenaga boleh diperbaharui secara drastik dan menghabiskan begitu banyak wang bagi mendapatkan teknologi itu ketika kita tidak memiliki sumber yang jelas akan menyebabkan kita boleh menjadi negara lain yang pernah kehilangan tenaga sehingga berada dalam kegelapan buat seketika,'' katanya, menurut laporan Bernama.

 

Sharifah Zaida berkata demikian  pada  perbincangan panel eksekutif bertajuk 'Pengesetan Semula Model Operasi  Huluan di Malaysia', yang diadakan semasa acara maya “Re-Imagining Malaysia Assets (RESET) 2021” yang pertama.

 

Beliau menjelaskan industri minyak dan gas perlu memahami peralihan tersebut, dengan penghasilan perkhidmatan bernilai tambahan.

 

“Ini kunci sebenar kerana ia akan membuka jalan bagi perniagaan untuk bergerak ke arah tenaga boleh diperbaharui. Kita tidak boleh bergerak secara tiba-tiba ke arah tenaga boleh diperbaharui tanpa mengasaskan sebarang perniagaan yang mampu memberikan sokongan. Banyak syarikat akan tersungkur,” kata Sharifah Zaida.

 

Beliau menyatakan Malaysia mempunyai pasaran yang sangat matang daripada segi penyedia perkhidmatan, termasuk  syarikat yang berkemampuan untuk bergerak ke hadapan, selain daripada banyak syarikat peringkat pertengahan. 

 

''Syarikat-syarikat peringkat pertengahan  ini seolah-olah  telah hilang dalam persamaan rantaian bekalan atas sebab-sebab tertentu. Perusahaan kecil dan sederhana mendapat banyak sokongan tetapi bagaimana pula dengan syarikat-syarikat yang sudah ada (terlibat dalam industri)? Adakah anda mahu kehilangan mereka, teknologi dan set kemahiran yang sudah mereka wujudkan?

 

“Kita perlu mengenal pasti mereka dan memberikan sokongan, sama seperti bagaimana syarikat-syarikat Norway menyokong Akker,” kata Sharifah Zaida, sambil menambah MOGSC berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingannya untuk memastikan industri ini kekal relevan. 

 

Sementara itu, Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Edward Graham berkata syarikat itu telah menubuhkan dua pusat teknologi di Kuala Lumpur dan Bangalore untuk aktiviti kimia hiliran serta huluan. 

 

"Kita mempunyai pusat teknologi di sini yang semakin berkembang sebelum pandemik dan kita terus menambah kakitangan walaupun sepanjang COVID-19. "Tahun ini kita mungkin akan mengupah tambahan 100 hingga 150 jurutera," katanya lagi. - DagangNews.com