Peralihan kepada SST pada 2018 akibatkan kerugian RM20 bilion | DagangNews Skip to main content

Peralihan kepada SST pada 2018 akibatkan kerugian RM20 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion ketika peralihan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 2018 yang diperlukan untuk menampung jurang fiskal yang ditinggalkan oleh subsidi lebih tinggi dan meneruskan penyatuan fiskal.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus berkata, bagaimanapun, kerajaan dijangka tidak komited kepada GST walaupun peluang mungkin ada untuk melihatnya kembali semula dalam satu bentuk cukai atau yang lain. 

 

Katanya, dalam kenyataan pra-bajet 2023 yang dikeluarkan Jumaat lalu, kerajaan menekankan perancangan untuk melaksanakan lebih banyak subsidi bersasar tetapi butiran selanjutnya belum lagi dikeluarkan. 

 

"Tambahan pula, ia tidak menyatakan prospek untuk pelaksanaan semula GST.

 

"Namun begitu, kami menjangkakan bajet 'pilihan raya' yang lebih meluas, dengan isu seperti GST kemungkinan akan ditangani kerajaan baharu selepas pilihan raya," katanya dalam nota kajian. 

 

Antara intipati yang terkandung di dalam kenyatan pra-bajet itu termasuklah pelan pengukuhan fiskal akan dipergiatkan lagi ke arah mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Inisiatif reformasi fiskal akan diteruskan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dengan menambah baik tadbir urus fiskal, meluaskan asas hasil dan mengoptimumkan perbelanjaan.

 

Kerajaan juga mengekalkan defisit fiskal untuk Bajet 2022 disasarkan pada 6% daripada KDNK sejajar dengan unjuran pemulihan ekonomi dan berikutan prospek ekonomi global yang lebih baik serta pembukaan semula secara berperingkat sektor ekonomi dan sosial domestik.

 

Menurut Nazmi, kerajaan mengekalkan sasaran defisit fiskal 2022 pada 6% walaupun perbelanjaan subsidi lebih tinggi, dijangka diimbangi oleh pembayaran dividen yang tinggi.

 

Namun, katanya, ia hanya dapat dicapai melalui pembayaran dividen yang tinggi oleh syarikat berkaitan kerajaan, terutama Petronas.

 

"Pada Ogos 2021, Petronas mengumumkan pembayaran dividen tambahan RM7 bilion kepada kerajaan di tengah-tengah kenaikan harga minyak, selain sasaran awalnya sebanyak RM18 bilion.

 

"Kami percaya Petronas juga dapat mengatasi komitmen awalnya untuk pembayaran dividen sebanyak RM25 bilion pada 2022 berikutan kerajaan menjangka tambahan RM30 bilion untuk perbelanjaan subsidi," jelasnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan pra-bajet bagi tahun ini yang dikeluarkan lebih awal pada 3 Jun berbanding 31 Ogos tahun lalu, berkemungkinan menandakan pilihan raya semakin hampir dan kerajaan mahu membentangkan bajet lebih awal.

 

"Setakat ini, semakan kami dengan jadual Parlimen menunjukkan Bajet 2023 akan dibentangkan pada 28 Oktober 2022," tambahnya.

 

Setakat ini, beliau mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 5.6% bagi tahun ini manakala 5% pada 2023. - DagangNews.com