Skip to main content
Kolum Iktisad - 8 June 2021

PERANAN BAITULMAL DALAM PASARAN MODAL ISLAM

 

 

WANG SYUBHAH ialah wang yang dihasilkan daripada aktiviti tidak diketahui status halal haram dan bercampur dengan perkara dilarang oleh syariah.

 

Hingga kini terdapat banyak persoalan berkaitan dengan wang syubhah hasil daripada aktiviti-aktiviti yang tidak selari dengan syariah dalam industri kewangan.

 

Ini termasuklah isu wang syubhah yang terhasil daripada aktiviti pelaburan dijalankan oleh pengurus dana unit amanah dalam pasaran modal Islam.

 

Untuk makluman, dalam pasaran modal di Malaysia, segala aktiviti pelaburan unit amanah adalah dilakukan oleh pengurus dana unit amanah konvensional dan pengurus dana unit amanah syariah.

 

Kini, terdapat 40 pengurus dana unit amanah syariah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan mereka akan menguruskan segala aktiviti pelaburan dana.

 

Dalam proses pengurusan dana tersebut, segala aktiviti perlu mengikut semua prosedur yang ditetapkan serta berlandaskan garis panduan oleh Majlis Penasihat Syariah SC (SACSC).

 

 

Bagaimana ‘terhasilnya’ wang syubhah?

 

Dalam pasaran modal Islam, terdapat 3 situasi berbeza yang menghasilkan wang syubhah ini.

 

Situasi pertama adalah di mana pengurus dana unit amanah syariah ‘tersalah beli’ sekuriti yang tidak patuh syariah dan mereka bertanggungjawab melupuskan sekuriti tidak patuh syariah ini.

 

Sebarang keuntungan atau dividen hasil daripada pelupusan sekuriti tersebut akan disalurkan kepada Baitulmal atau badan badan kebajikan.

 

 

suruhanjaya sekuriti
Setakat ini, terdapat 40 pengurus dana unit amanah syariah berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

 

 

Situasi kedua pula adalah apabila berlaku pertukaran dalam operasi dan/atau pengurusan sesebuah syarikat.

 

Pada asalnya sekuriti syarikat tersebut patuh syariah. Bagaimanapun, hasil daripada pertukaran operasi atau pengurusan syarikat tersebut, SACSC membuat keputusan dan mengklasifikasikan sekuritinya daripada ’patuh syariah’ kepada ’tidak patuh syariah’.

 

Apabila pertukaran status ini berlaku, pengurus dana unit amanah syariah akan melupuskan sekuriti syarikat tersebut daripada potfolio pelaburan dana unit amanah syariah. 

 

Sebarang keuntungan atau dividen hasil daripada pelupusan sekuriti yang tidak patuh syariah itu akan disalurkan kepada Baitulmal atau badan badan kebajikan.

 

Situasi yang ketiga yang menghasilkan wang syubhah ini pula adalah hasil daripada faedah (riba) yang diterima oleh pengurus dana unit amanah syariah, daripada simpanan atau pelaburan di institusi kewangan.

 

Perlu dimaklumkan di sini bahawa garis panduan SC adalah amat jelas di mana kesemua akaun untuk dana unit amanah syariah perlu dibuka menggunakan akaun berprinsipkan syariah.

 

 

Kenapa Baitulmal disenaraikan oleh SACSC?

 

Namun begitu, bagi sesetengah dana unit amanah syariah, terutama yang perlu membeli dan menjual sekuriti syarikat yang diapungkan di bursa luar negara, mereka perlu membuka akaun di institusi kewangan negara luar, seperti Hong Kong dan Britain dalam mata wang asing untuk berurus niaga.

 

Disebabkan kapasiti yang terhad, kebanyakan daripada akaun yang dibuka itu menghasilkan faedah (riba), yang secara terang-terangan bercanggah dengan prinsip syariah.

 

Sehubungan itu, para pengurus dana unit amanah syariah yang terlibat akan mengambil wang faedah tersebut dan seterusnya menyalurkannya kepada Baitulmal atau badan-badan kebajikan.

 

Penyenaraian Baitulmal oleh SACSC dalam ‘Senarai Sekuriti Patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti’, untuk menerima wang syubhah untuk pasaran modal Islam ini adalah usaha untuk mempromosi sistem kewangan sosial dalam negara.

 

Penulis percaya keputusan SACSC menyenaraikan Baitulmal ini mempunyai agenda serampang dua mata.

 

Dalam membantu mentakrifkan fungsi sebenar Baitulmal kepada masyarakat, ia turut menyelitkan kepentingan peranan yang dimainkan oleh Baitulmal dalam usaha membantu ekonomi negara terutama bidang kewangan Islam.

 

Ini adalah selari dengan wawasan negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam serantau. DagangNews.com

 

 

 

DR RAZLI RAMLI merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

NOTA PENGARANG : Sidang editorial DagangNews.com mengalu-alukan Dr Razli sebagai seorang lagi kolumnis portal berita ini, yang disiarkan setiap Selasa. 

 

          KOLEKSI IKTISAD:

 

 

 

 

 

Portfolio Tags