Perbelanjaan imunisasi kebangsaan hampir RM2.8 trilion sejak 1957 | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan imunisasi kebangsaan hampir RM2.8 trilion sejak 1957

 imunisasi

KUALA LUMPUR 27 April - Perbelanjaan kerajaan bagi menjayakan program imunisasi kebangsaan sejak 1957 mencecah hampir RM2.8 trilion.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah tersebut merangkumi kos imunisasi kira-kira RM150 yang diberikan secara percuma kepada setiap rakyat.

 

"Ia membuktikan komitmen kerajaan bagi meningkatkan tahap perlindungan masyarakat seterusnya mencapai imuniti kelompok bagi mengekang penularan penyakit seperti polio dan tuberkulosis yang berpotensi membawa maut," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Imunisasi peringkat kebangsaan di Kementerian
Kesihatan (KKM) seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Sambutan yang diraikan setiap tahun itu memilih tema ‘Vaksin Menyatukan Kita Semua’ untuk 2021.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan imunisasi dalam negara tetap diteruskan biarpun negara berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Ia turut mengambil kira kepentingan vaksin kepada bayi dan kanak-kanak.

 

Katanya, liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak kini adalah tinggi dan mencapai sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95% bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi.

 

Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula, hingga Ahad lepas, sebanyak 78% petugas barisan hadapan telah selesai diberikan dos vaksin lengkap dalam fasa satu, manakala 65,224 orang telah diberikan dos pertama dalam fasa kedua. 

 

Hebahan program imunisasi berkenaan turut diperluas melalui pihak institusi keagamaan berkaitan hukum pengambilan vaksin, pakar akademik mahupun badan bukan kerajaan.

 

Jelas beliau, usaha itu dibuat agar rakyat tidak sangsi dengan pengambilan vaksin, sekali gus dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70% populasi yang telah menerima vaksin. - DagangNews.com