Perbelanjaan pelancongan domestik pada 2021 turun 54.5% kepada RM18.4 bilion - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan pelancongan domestik pada 2021 turun 54.5% kepada RM18.4 bilion - Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR 29 Jun - Perbelanjaan pelancongan domestik pada 2021 menurun sebanyak 54.55% kepada RM18.4 bilion berbanding RM40.4 bilion pada 2020, menurut Survei Pelancongan Domestik 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah ketibaan pelancong domestik pada 2021 juga turun 49.9% dengan mencatat 66 juta pelancong berbanding 131.7 juta orang pada tahun sebelumnya, dan merosot sebanyak 72.4% jika dibandingkan dengan sebelum pandemik COVID-19 pada 2019.

 

“Sekatan sempadan, peraturan prosedur standard dan sekatan pergerakan berterusan susulan varian baharu COVID-19 seperti Omicron dan Delta terus menjejaskan pelancongan domestik pada 2021.

 

“Bencana banjir menjelang akhir 2021 di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia turut menyebabkan perjalanan domestik bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, penurunan prestasi pelancongan domestik di Malaysia pada 2021 disebabkan perbelanjaan oleh pelancong domestik jatuh 68% manakala jumlah pengembara menurun 36.3%.

 

Ini selaras dengan pertumbuhan negatif dalam jumlah pelancong domestik dan pengembara yang merekodkan masing-masing 67.8% dan 40.2%, katanya.

 

Pada 2021, bilangan perjalanan domestik susut 50.7% dengan 72.4 juta perjalanan berbanding 147 perjalanan pada 2020 manakala perjalanan penginapan turun 67.8% dengan 15.5 juta manakala perjalanan harian turut menurun 42.4% dengan catatan 56.9 juta perjalanan.

 

Dari segi perbelanjaan, tinjauan itu mendedahkan membeli-belah merupakan sumbangan terbesar daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan iaitu 50.3%, diikuti makanan dan minuman (15.1%) dan penggunaan bahan api kenderaan (11.1%).

 

Mohd Uzir berkata, melawat saudara-mara dan rakan menyumbang 24.2% pada 2021 berbanding 32% pada 2020, tetapi ia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun sebelum pandemik pada 2019 yang mencatatkan 42.3%.

 

“Situasi dijangka ini adalah disebabkan sekatan antara daerah dan negeri yang menyebabkan orang ramai tidak dapat melawat saudara-mara,” katanya.

 

Mohd Uzir berkata, pelancong domestik dengan pendapatan isi rumah antara RM5,001 hingga  RM10,000 menunjukkan peningkatan ketara pada 2021 dengan mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 30.4% daripada 23.3% sebelum pandemik.

 

Pelancong domestik dengan pendapatan isi rumah antara RM1,001 hingga RM3,000 pula menurun 6.4% pada 2021 berbanding 29.3% pada 2019, lapor Bernama.

 

“Negeri paling popular dikunjungi pelawat domestik pada 2021 adalah Selangor dengan 10.2 juta orang diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 9.1 juta dan 6.5 juta pelancong domestik,” katanya. - DagangNews.com