Pergolakan politik ‘heret’ pasaran saham Malaysia menjunam lagi | DagangNews Skip to main content

Pergolakan politik ‘heret’ pasaran saham Malaysia menjunam lagi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Baru sahaja pasaran saham Malaysia dibuka menghampiri paras psikologi 1,700 semalam, namun hari ini ia gagal mengekalkan momentum itu apabila terus menjunam.

 

Pergolakan politik yang tercetus semalam sekali lagi ‘mengheret’ pasaran di Bursa Malaysia untuk dibuka lebih rendah, menyambung kemerosotan daripada paras yang ditutup semalam. 

 

Setakat 9 pagi, KLCI mencecah 1,661.54, merudum sebanyak 1.20 mata atau 0.07% daripada paras yang ditutup, 1,662.74.

 

Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang sekian lama ‘berseteru’ sebulat suara mahu bekerjasama.

 

Dalam sidang akhbar diadakan semalam, Mahathir mendakwa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal tumbang hari ini ketika bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. 

 

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li juga menyatakan pendirian untuk tidak mengundi bajet berkenaan. 

 

Krisis politik yang tercetus itu sekali gus menyaksikan pasaran saham Malaysia merudum lebih 20 mata ketika dagangan ditutup semalam. 

 

Hari ini, ‘mata’ masih lagi tertumpu kepada persidangan Dewan Rakyat yang bakal menentukan penerimaan Belanjawan 2021 dan juga keteguhan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di bawah Muhyiddin.

 

Malah, jualan besar-besaran kaunter sarung tangan getah turut mempengaruhi pergerakan pasaran susulan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja kilang sektor itu. 

 

Hartalega Holdings Berhad mengumumkan seramai 35 pekerjanya disahkan positif COVID-19, manakala Top Glove Corporation Berhad buat kali pertama menyaksikan kematian seorang pekerja akibat jangkitan pandemik berkenaan. 

 

Di pasaran global, Dow Jones dan S&P 500 juga berakhir dalam paras negatif memandangkan para pelabur masih bimbang terhadap kemungkinan sekatan perniagaan susulan kes jangkitan kian meningkat walaupun pengedaran vaksin COVID-19 pertama telah dijalankan di Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com