Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Jiwo Niago - 15 September 2020

Perincian isi kandungan pelan bisnes bergantung kepada jenis dan saiz perniagaan

 

Menulis pelan perniagaan yang lengkap merupakan satu tugas yang amat mencabar di kalangan usahawan. Lazimnya, pelan perniagaan mengambil masa yang agak lama untuk disediakan. Tambahan pula, tidak semua orang akan membaca keseluruhan kandungan pelan perniagaan kerana tidak semua pelan perniagaan ditulis untuk tujuan yang sama.

Ada usahawan yang menulis pelan perniagaan untuk tujuan memohon pembiayaan. Ada pula yang menulis untuk tujuan mendapatkan lesen, tender, atau kontrak kerajaan. Tidak kurang juga yang menyediakan pelan perniagaan untuk dijadikan sumber rujukan dan panduan dalam menguruskan perniagaan.

Namun, cabaran yang paling utama yang dihadapi oleh usahawan ialah kesukaran mereka untuk mengemaskini pelan perniagaan dari semasa ke semasa. Ini kerana kebanyakan pelan perniagaan yang telah disediakan tidak memberi ruang kepada usahawan untuk berbuat demikian.

Secara tradisi, usahawan mengambil masa yang agak lama untuk menulis dan meyiapkan satu pelan perniagaan. Mereka melihat penulisan pelan perniagaan sebagai satu tugas yang rumit yang sering menghalang dan menyukarkan mereka untuk memulakan perniagaan terutama jika pelan perniagaan tersebut disediakan untuk tujuan memohon pembiayaan.

Apakah jenis pelan perniagaan yang anda perlukan?

Sejauh mana kandungan pelan perniagaan harus diperincikan bergantung sepenuhnya kepada tujuan pelan tersebut disediakan.

Jika tiada keperluan untuk menyediakan pelan perniagaan yang formal terutama bagi tujuan memohon pembiayaan dari bank atau institusi kewangan, anda hanya perlu menyediakan pelan perniagaan yang mudah tetapi berkesan (lean business plan). Pelan perniagaan jenis ini sesuai untuk kegunaan dalaman kerana ia boleh dirujuk dan dikemaskini dengan mudah sekiranya anda ingin memantapkan lagi atau menyemak semula strategi perniagaan dari semasa ke semasa.

Sebaliknya, jika anda bercadang untuk memohon pembiayaan dari bank atau institusi kewangan, anda perlu menyediakan satu pelan perniagaan yang komprehensif dan menyeluruh. Ia perlu ditulis mengikut format yang sesuai yang bertujuan untuk menarik perhatian dan meyakinkan pihak penilai mengenai daya maju perniagaan yang dirancang.

Format dan isi kandungan pelan perniagaan

Hakikatnya tiada format standard dalam penulisan pelan perniagaan. Setiap pelan perniagaan adalah berbeza dari segi format dan perinciannya bergantung kepada jenis perniagaan, saiz perniagaan dan bidang yang hendak diberi penekanan.

Pelan perniagaan yang lengkap perlu menangani beberapa isu asas yang boleh digolongkan kepada empat aspek utama yang menjadi tonggak kepada setiap aktiviti perniagaan, iaitu aspek-aspek pemasaran, operasi, pentadbiran, dan kewangan.

Dengan mengambil kira keempat-empat aspek utama tersebut, pelan perniagaan boleh disediakan berpandukan format berikut:

Ringkasan eksekutif

Ringkasan eksekutif merupakan bahagian paling awal dalam pelan perniagaan tetapi bahagian yang paling akhir sekali ditulis sebagai ringkasan kepada keseluruhan isi kandungan pelan perniagaan. Antara perkara yang perlu difokuskan dalam ringkasan eksekutif ialah masalah pelanggan yang hendak diselesaikan, penyelesaian yang dicadangkan, profil pelanggan sasaran, ringkasan padat berkaitan usahawan dan pasukan pengurusan syarikat, dan sorotan pelunjuran kewangan.

Ringkasan eksekutif yang baik mampu mendorong minat pembaca untuk terus membaca pelan perniagaan anda. Bukanlah suatu yang luar biasa bagi pelabur untuk membuat keputusan awal dengan hanya berdasarkan ringkasan eksekutif. Oleh itu adalah penting untuk memberi maklumat yang tepat dan padat dalam bahagian ini.

Tawaran nilai

Nyatakan dengan jelas apakah masalah pelanggan yang ingin diselesaikan dan apakah penyelesaian yang hendak ditawarkan kepada pelanggan. Dengan lain perkataan, apakah tawaran nilai (value proposition) yang hendak diketengahkan dan apakah nilai yang akan diterima oleh pelanggan daripada wang yang mereka belanjakan.

Produk dan teknologi

Terangkan profil produk atau perkhidmatan yang ditawarkan dengan memberi penekanan kepada keunikan, kekuatan atau kelebihan produk berbanding produk sedia ada dalam pasaran. Sekiranya produk atau perkhidmatan melibatkan aspek teknikal, penerangan terperinci mengenai teknologi yang digunakan dapat membantu pemahaman penilai terhadap produk yang ditawarkan. Jelaskan tentang kegunaan dan faedah produk atau perkhidmatan termasuk potensi kegunaan atau aplikasi produk pada masa hadapan.

Analisis pasaran

Bahagian ini membentangkan secara ringkas mengenai pelanggan sasaran dan segmentasi pelanggan, bagaimana perniagaan boleh memenuhi keperluan pelanggan, trend pasaran, masa depan pasaran, pesaing utama dan tahap persaingan, saiz pasaran, syer pasaran, anggaran jualan, dan faktor-faktor yang mempengaruhi kelebihan bersaing.

Pelan pemasaran

Bahagian ini merupakan aspek kritikal dalam sesebuah perniagaan yang boleh menentukan kejayaan perniagaan tersebut.  Pelan pemasaran menghuraikan perancangan dan strategi pemasaran merangkumi strategi produk, harga, promosi, dan saluran pengedaran. Nyatakan juga jumlah kos pemasaran yang terlibat.

Pelan operasi atau pengeluaran

Pelan operasi merujuk kepada aspek pengeluaran produk atau kerja-kerja yang berkait secara langsung dengan tawaran perkhidmatan kepada pelanggan. Bahagian ini difokuskan kepada aktiviti merancang, mengguna, dan mengawal segala sumber perniagaan dalam menghasilkan produk atau perkhidmatan termasuk kos yang terlibat dalam melaksana aktiviti operasi.

Pelan pentadbiran atau organisasi

Pelan pentadbiran merangkumi aspek-aspek pengurusan dan pentadbiran perniagaan terutama aspek pengurusan sumber manusia dan yang berkaitan dengan perundangan yang perlu dipatuhi bagi membolehkan perniagaan beroperasi secara sah. Antara perkara yanjg perlu difokuskan ialah struktur organisasi, jawatan dan huraian tugas, bilangan tenaga pekerja, dan kos pentadiran.

Pelan kewangan

Penyediaan pelan kewangan dapat meningkatkan kemampuan usahawan dalam membuat keputusan dan mengawal kos di samping membolehkan usahawan meneliti kedudukan perniagaan sepanjang masa. Kesan kepada keputusan yang dibuat dapat dilihat melalui hasil yang ditunjukkan di dalam pelunjuran penyata kewangan yang terdiri daripada penyata pendapatan, aliran wang tunai, dan kunci kira-kira. Lazimnya pelunjuran kewangan disediakan untuk tempoh antara tiga hingga lima tahun.
 

aaa

Perkara yang perlu dilampirkan dalam pelan perniagaan

Beberapa maklumat dan dokumen perlu dilampirkan bagi menyokong atau membuktikan hujah dan analisis yang dibentangkan dalam pelan perniagaan, Antara yang boleh dilampirkan ialah profil dan latar belakang kakitangan pengurusan utama, analisis risiko, andaian-andaian yang digunakan dalam membuat perancangan, data penyelidikan, maklumat kewangan tambahan, gambarajah yang berkaitan, surat perjanjian, surat niat atau testimonial, memorandum dan artikel persatuan, dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

Berapa tebal pelan perniagaan?

Ramai pakar perunding menganggarkan bilangan halaman yang sesuai bagi sesebuah pelan perniagaan adalah antara 30 hingga 50 halaman. Bagaimanapun, ketebalan pelan perniagaan boleh melebihi 50 halaman atau mungkin kurang daripada 30 halaman; ia bergantung kepada jenis pembaca yang disasarkan atau tujuan utama pelan tersebut disediakan.

Tidak ada syarat atau peraturan khusus mengenai ketebalan sesebuah pelan perniagaan. Ini disebabkan penulisan pelan perniagaan tidak pernah muktamad kerana anda akan sentiasa menyemak semula dan mengemaskini pelan perniagaan dari semasa ke semasa. Malah, proses merancang masa depan perniagaan dan kualiti maklumat yang terdapat dalam pelan perniagaan adalah lebih penting berbanding bilangan halaman pelan tersebut.

Siapa yang sepatutnya menulis pelan perniagaan?

Pelan perniagaan boleh ditulis sama ada oleh usahawan atau pakar perunding. Bagaimanapun, sebelum menggunakan khidmat pakar perunding, kebaikan dan keburukannya wajar dipertimbangkan. Menggunakan khidmat pakar perunding mungkin dapat menjimatkan masa dan tenaga, namun isi kandungan yang disediakan belum pasti bertepatan dengan hasrat dan kemampuan sebenar usahawan.

Untuk menyedia sebuah pelan perniagaan yang baik, pakar perunding mungkin terpaksa mendapatkan maklumat terperinci dan berkualiti daripada usahawan dan ini akan mengambil masa yang agak lama. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika usahawan sendiri yang menyediakan pelan perniagaannya.

Faedah utama menyediakan sendiri pelan perniagaan ialah dapat ‘memaksa’ usahawan mencari maklumat terkini dan perlu mengetahui semua aspek yang berkaitan dengan perniagaan yang dirancang. Masa dan tenaga yang disumbangkan dalam penyediaan pelan perniagaan tidak akan merugikan kerana usahawan berpeluang mempelajari lebih mendalam mengenai selok-belok perniagaan yang bakal dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, khidmat pakar perunding boleh digunakan untuk meneliti dan menilai pelan perniagaan yang telah disediakan oleh usahawan. Ini bertujuan membantu usahawan mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki sebelum dinilai oleh pihak pembiaya. Namun begitu, yuran perkhidmatan yang perlu dibayar kepada perunding mungkin membebankan usahawan kerana kebanyakan usahawan jarang membuat peruntukan terhadap perbelanjaan ini.
 

aaa

Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA

 

KOLEKSI JIWO NIAGO

Pelan perniagaan sebagai strategi pengembangan perniagaan

Pemikiran Kreatif dan Peranannya Dalam Perniagaan

Memilih idea, peluang niaga yang sesuai untuk anda

TIDAK SEMUA BISNES PERLU MODAL TINGGI

Model Perniagaan mesti ada nak kembangkan bisnes

Fahami tawaran nilai produk anda dari perspektif pelanggan

 

Portfolio Tags