Perkembangan teknologi digital beri peluang PNB tingkat literasi kewangan dalam kalangan masyarakat | DagangNews Skip to main content

Perkembangan teknologi digital beri peluang PNB tingkat literasi kewangan dalam kalangan masyarakat

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

PERKEMBANGAN teknologi digital yang berlaku pada masa ini telah membuka peluang kepada banyak pihak untuk menyebarkan pelbagai maklumat dengan lebih cepat dan berkesan dari semasa ke semasa.

 

Seiring dengan perkembangan itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia turut melaksanakan Rangka Tindakan Teknologi Lima Tahun dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi kecekapan sistem operasi teras dan keupayaan organisasi.

 

Menurut Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, PNB telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengalaman pemegang unit dan pelaburnya dalam menguruskan pelaburan dan perancangan kewangan.

 

“Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan oleh PNB termasuklah memperkenalkan portal dan aplikasi mudah alih myASNB; memperkenalkan aplikasi mudah alih pelaburan mikro, Raiz; dan pelaksanaan transaksi tanpa borang di kaunter ASNB.

 

“Selain itu, PNB turut melaksanakan program pengukuhan pendidikan kewangan yang komprehensif di semua platform di bawah inisiatif Literasi Kewangan; dan yang terbaru ialah memperkenalkan pendaftaran akaun dana amanah baharu dalam talian berasaskan e-KYC,” katanya.

 

Mengulas mengenai inisiatif Literasi Kewangan, jelas Ahmad Zulqarnain, ia disasarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan ia terdiri daripada program jangka panjang yang berstruktur dan sistematik yang memberi penekanan terhadap pemahaman mengenai risiko dan pulangan serta kepentingan melabur secara konsisten.

 

BACA JUGA: MINGGU SAHAM DIGITAL - 15 hal anda patut tahu untuk urus kewangan

 

Antara program literasi kewangan yang telah dilaksanakan oleh PNB termasuklah Minggu Saham Digital (MSD), Seminar Pelaburan 360 Hari, Webinar Sembang-Sembang ASNB, selain Kuiz Pelaburan PNB dan Kelab Pelaburan Bijak PNB yang diwujudkan khusus untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan generasi muda.


 

Ahmad Zulqarnain Onn
Ahmad Zulqarnain Onn (kanan) bersama Tun Ariffin Zakaria di Minggu Saham Digital yang berlangsung dari 17 hingga 23 November 2021.

 


Jelasnya, selain bertujuan bagi mengurangkan jurang celik kewangan negara dengan lebih meluas, program MSD merupakan adaptasi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang telah dianjurkan selama 20 tahun sejak 1999 dan dilaksanakan secara maya itu juga mampu meningkatkan lagi pengetahuan mengenai pelaburan unit amanah, konsep risiko dan pulangan, perancangan kewangan, dan kesedaran tentang sumber dan pendidikan perancangan kewangan yang mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

 

Meskipun ia bersifat digital, matlamatnya kekal iaitu sebagai platform pendidikan pelaburan bersepadu PNB untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang celik kewangan, celik pelaburan dan bijak merancang kewangan.

 

“Dulu objektif utama kami adalah untuk menggalakkan pelabur untuk melabur dalam unit-unit amanah ASNB, serta memperkenalkan kepada khalayak ramai tentang unit amanah yang begitu asing bagi mereka dan kepentingannya.

 

ARTIKEL TERKINI: MINGGU SAHAM DIGITAL 2021 catat lebih 15 juta tontonan, 5 juta penglibatan di saluran media sosial

 

“Kini, PNB menekankan kepada literasi kewangan kepada pelabur-pelabur melalui aktiviti-aktiviti pendidikan pelaburan agar para pelabur lebih terdidik dan memahami konsep risiko dan pulangan.

 

“Program celik kewangan amat penting bagi orang ramai untuk menghalang mereka daripada terpedaya dengan ‘scam’ atau menjadi mangsa skim pelaburan yang menjanjikan kadar pulang yang tinggi dengan risiko rendah atau skim pelaburan yang menyalahi undang-undang,” katanya.


 

msd

 

 

Dalam pada itu, jelas beliau, PNB menyedari bahawa literasi kewangan dalam kalangan anggota masyarakat khususnya Bumiputera sukar untuk dicapai kerana ia memerlukan pengetahuan dan kemahiran khusus yang mungkin tidak dimiliki oleh mereka disebabkan oleh kekurangan peluang untuk mengaksesnya.

 

Bagaimanapun jelas beliau,  keterhubungan digital semakin meluas di negara ini hasil perkembangan teknologi pada masa kini yang menyaksikan hampir setiap individu dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda memiliki sekurang-kurangnya sebuah telefon pintar telah membuka peluang kepada PNB untuk melaksanakan program literasi kewangan menerusi platform digital dan maya.

 

Justeru kata beliau, PNB menyasarkan untuk menjadi sebuah organisasi yang inklusif bagi memastikan semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Bumiputera, mempunyai akses mudah kepada pengetahuan asas untuk memulakan perancangan kewangan mereka dengan harapan dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga mereka.

 

“PNB sebagai institusi pelaburan negara dengan mandat untuk mencipta kekayaan Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, juga sangat komited untuk membantu kerajaan mencapai wawasan dengan meningkatkan celik kewangan masyarakat.

 

“Ia adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama Kerajaan 2030 yang bertujuan untuk mewujudkan ekosistem pengagihan kekayaan yang saksama di negara ini,” ujarnya.

 

 

msd

 

 

Mengulas lanjut, kata Ahmad Zulqarnain lagi, peningkatan kadar literasi kewangan melalui pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat sememangnya sangat penting kerana ia dapat membantu masyarakat mencapai kestabilan pengurusan kewangan selain memastikan mereka berupaya membuat keputusan kewangan yang bijak penting dalam kehidupan seharian.

 

Ini kerana jelas beliau, ketidakcekapan menguruskan kewangan akan menyebabkan masyarakat akan bergelut dengan pelbagai isu kewangan di luar jangkaan kerana tidak mempunyai simpanan kecemasan.

 

“Sebagai contoh, ketika negara berhadapan dengan penularan wabak Covid-19 pada awal tahun 2020 lalu, kita telah menyaksikan banyak sektor industri terjejas dengan ada antara syarikat yang terpaksa ditutup sehingga menyebabkan ramai dalam kalangan anggota masyarakat hilang pekerjaan.

 

“Malah, masalah kesihatan yang berpanjangan selain kehilangan punca pendapatan disebabkan oleh pelbagai faktor lain dan menjadi mangsa penipuan dalam urusan pelaburan kewangan turut menyebabkan masyarakat berisiko untuk terjerumus kepada bebanan hutang yang besar.

 

“Justeru, melalui program literasi kewangan, masyarakat tidak mudah tertipu dengan taktik sindiket seperti “Macau Scam” atau skim pelaburan palsu yang menjanjikan kadar pulangan yang tinggi dengan risiko rendah.

 

“Apabila kesejahteraan kewangan mampu dicapai, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial tidak sihat seperti rasuah, mencuri, keciciran pendidikan dan sebagainya,” katanya.

 

msd

 

 

Tambah Ahmad Zulqarnain lagi, sebagai salah sebuah anggota pengasas Jaringan Pendidikan Kewangan atau FEN (Financial Education Network), PNB akan terus memperluas dan mengembangkan inisiatif literasi kewangannya merangkumi program-program yang mampu meningkatkan kemampuan literasi kewangan digital masyarakat dari semasa ke semasa.

 

Usaha itu jelasnya, sejajar dengan hasrat Bank Negara Malaysia bagi mengembangkan satu sistem kewangan yang inklusif menerusi penggunaan teknologi kewangan (FinTech).

 

“Ahli-ahli FEN masing-masing menjalankan pelbagai program di bawah Strategi Literasi Kewangan 2019-2023 dengan tujuan meningkatkan tahap literasi kewangan masyarakat, seterusnya memupuk tabiat dan sikap bertanggungjawab serta berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

 

Melangkah ke hadapan, PNB sebagai sebuah institusi pelaburan yang boleh dipercayai di negara ini akan bekerjasama dengan anggota FEN yang lain dalam menyumbang ke arah pemerkasaan kewangan digital mampan bagi masyarakat, seiring dengan pendigitalan pesat dalam masyarakat,” ujarnya. – DagangNews.com